KUALA LUMPUR, 29 FEB – Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah kini semakin serasi dengan jentera baharunya bagi mengharungi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024.
Tinjauan Bernama pada sesi latihan persendirian di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini mendapati pelumba berusia 29 tahun itu telah mempamerkan aksi cemerlang dengan jentera berasaskan Ducati Panigale V4R yang mencapai kelajuan sehingga 313 kilometer sejam (kmj).
“Saya tidak pernah bawa V4. Sebelum ini, saya hanya bawa jentera yang menggunakan inline engine, tapi dengan V4 ini perasaan lain, kita jadi sebahagian dari jentera itu,” katanya.
JDT Racing Team bersama Hafizh Syahrin bakal memberikan saingan pertamanya dalam ARRC 2024 dalam kelas Asian Superbike 1,000cc (ASB 1,000) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.
Hafizh Syahrin yang buat kali pertamanya menggunakan model terkini jentera buatan Itali itu bagaimanapun optimis mampu memberikan saingan terbaik dan menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan musim ini. – Bernama