Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hafreez Adam ingin bawa watak jahat

    Sering membawakan watak lelaki baik, pelakon Malaysia, Hafreez Adam berharap karakter tersebut tidak terus melekat pada dirinya.

    Memetik laporan mStar, Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, yang mahukan kelainan berharap dia diberikan peluang untuk membawa watak antagonis sekali gus keluar daripada zon selesa.

    “Pelakon dekat Malaysia ini senang kena stereotaip. Sebelum ini saya banyak bawa watak budak baik dan anak orang kaya.

    “Itulah saya sepanjang lapan tahun, nak dapat watak jahat sangat-sangat susah. Kadang saya sendiri yang kena tawar diri untuk bawak watak antagonis.

    “Itupun tak semua produksi boleh bagi, sebab mereka tak nampak yang saya boleh bawa watak lain,” katanya kepada mStar.

    Hafreez sanggup ubah penampilan untuk watak. – mStar

    Dalam pada itu, Hafreez berpendapat dia tidak akan akan mampu memperbaiki mutu lakonannya sekiranya diberi watak yang sama berulang kali.

    Justeru itu, dia kini lebih berhati-hati dalam menerima tawaran kerana mahu mencari karakter yang mampu mencabar dirinya sebagai pelakon.

    “Saya rasa kalau saya tak keluar daripada zon selesa saya, saya tak dapat berkembang kerana selalu lakonkan watak yang sama setiap masa.

    “Saya cuba perlahankan terima tawaran watak-watak yang sudah terlalu biasa. Saya cuba memilih watak yang di luar zon selesa saya,” jelasnya.

    Bagi Hafreez, dia terbuka untuk mengubah penampilannya demi memenuhi tuntutan watak selagi ia mampu memberi impak positif kepada lakonannya.

    “Saya tak kisah untuk ubah penampilan demi watak, kalau dia minta saya warnakan rambut atau cengkungkan wajah. Saya sanggup buat mengikut tuntutan watak.

    “Asalkan karakter tersebut mampu memberi kesan kepada sesiapa yang tonton lakonan saya,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda