LONDON, 27 NOV – Bekas pemimpin Parti Konservatif dan mantan Setiausaha Luar Negeri Britain, William Hague, telah dipilih sebagai Canselor Universiti Oxford ke-160 selepas memenangi undian empat pusingan, hari ini.
Hague, ahli politik berpengalaman dan anggota Dewan Pertuanan, merupakan gra-duan Oxford pada tahun 1982. Beliau kini akan mengetuai universiti terkemuka itu dalam jawatan yang bersifat istiadat, yang telah diisi secara berterusan sejak 1224.
Keputusan itu mengetepikan peluang untuk Oxford melantik wanita pertama sebagai canselor dalam sejarah 800 tahun jawatan tersebut. Pencabar Hague di pusingan akhir, Elish Angiolini, meraih 11,006 undi berbanding 12,609 undi yang diterima Hague.
Angiolini, bekas peguam negara Scotland dan pengetua St Hugh’s College, Oxford, terkenal dengan kepimpinannya dalam siasatan berprofil tinggi mengenai kes penculikan, rogol dan pembunuhan Sarah Everard pada 2021 oleh seorang anggota polis London.
Hague dan Angiolini menewaskan 36 calon lain yang disenarai pendek untuk mara ke pusingan akhir.
“Terima kasih kepada rakan-rakan Oxford atas kepercayaan mereka dalam saya. Saya menganggap pemilihan sebagai Canselor universiti ini sebagai penghormatan terbesar dalam hidup saya,” kata Hague. – AFP