Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hagy, Ramey berkongsi kedudukan

    MIAMI, 29 OKT – Pemain Amerika Syarikat (AS), Brandon Hagy dan Chad Ramey masing-masing mencatat pukulan enam bawah par 65 untuk berkongsi kedudukan mendahului pusingan pembukaan Kejohanan PGA AS Bermuda, kelmarin.

    Hagy membuat empat pukulan birdie dalam lima lubang pertama sementara Ramey mencatatkan tiga pukulan birdie daripada empat pusingan semasa memulakan saingan di Kelab Golf Port Royal di Southampton, Bermuda.

    “Cuaca berangin sedikit sebanyak membantu kami,” kata Hagy. “Saya membuat pukulan dengan baik dan berjaya memasukkan bola ke lubang. Saya cuba bermain dengan tenang dan membuat pukulan yang baik.”

    Terdapat 13 pemain yang tidak dapat menghabiskan permainan dalam pusingan pembukaan mereka kerana keadaan gelap dan akan meneruskan saingan hari ini sebelum bermula pusingan kedua.

    Vincent Whaley dari AS, yang menamatkan permainan sebelum matahari terbenam, berada di kedudukan ketiga pada 66 selepas mencatatkan pukulan eagle dan dua birdie dalam empat lubang terakhir.

    Pemain New Zealand, Danny Lee, Garrick Higgo dari Afrika Selatan, Seamus Power dari Republik Ireland, pemain Thailand Kiradech Aphibarnrat, David Skinns dari England dan pemain kelahiran AS Justin Lower, masing-masing berkongsi kedudukan keempat pada 67.

    Hagy, Ramey dan Whaley kesemuanya memburu kejuaraan jelajah pertama.

    Hagy membuat pukulan birdie pada lubang ke-11 hingga ke-14 sebelum mencatat dua bogey pada lubang ke-15. Dia kembali bangkit dengan membuat pukulan birdie par-5 di lubang ke-17 serta menambah pukulan birdie berturut-turut di lubang kedua dan tiga serta lima dan enam sebelum bogey par-5 pada lubang ketujuh.

    Dia menyertai kejohanan selepas bermain di Jepun minggu lalu. – AFP

    Aksi Brandon Hagy membuat pukulan semasa menyertai Kejohanan PGA AS Bermuda, semalam. AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda