KUALA LUMPUR, 3 JAN – Pemain beregu lelaki Malaysia, Muhammad Haikal Nazri, mendedahkan yang beliau pernah berhasrat untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas buntu mencari pasangan baharu susulan ‘perpisahannya’ dengan Nur Izzuddin Rumsani, tahun lepas.
Mengimbau kembali detik tersebut, Muhammad Haikal berkata, beliau sedikit tertekan berdepan dengan situasi berkenaan, selain cemburu melihat beberapa rakan sepasukannya memenangi gelaran pada kejohanan disertai mereka.
“Lama kelamaan diri sendiri terasa bila tengok orang lain jadi juara, bila pula saya? Masa itu saya rasa kelam kabut sebab tiada pasangan rasa tertekan sedikit, kadang-kadang rasa mahu keluar daripada BAM,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, di sini baru-baru ini.
Pemain berusia 21 tahun itu yang sebelum ini pernah berpasangan bersama Wan Muhammad Arif Wan Junaidi, mula membentuk gandingan bersama Nur Izzuddin, pada Mac tahun lepas.
Muhammad Haikal-Nur Izzuddin hanya bertahan selama sebulan selepas beraksi dalam tiga kejohanan, dengan pencapaian terbaik bergelar naib juara Cabaran Antarabangsa Vietnam selepas tumpas kepada pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi, 16-21, 21-19, 16-21, juga pada Mac.
Dalam pada itu, Muhammad Haikal berkata, kata-kata semangat daripada keluarganya dan Nur Izzuddin, membuatkan dirinya menarik balik hasrat untuk keluar daripada badan induk sukan badminton negara itu.
Pemain kelahiran Kelantan itu berkata, keputusan untuk bersama pasangan terbarunya Choong Hon Jian, dibuat selepas dicadangkan ketua jurulatih beregu lelaki Malaysia, Tan Bin Shen.
Biarpun baru dibentuk empat bulan lepas, Hon Jian-Muhammad Haikal membuktikan gandingan mereka membuahkan hasil, dengan meraih dua kejuaraan dalam tempoh seminggu di India, bulan lepas. – Bernama
