MELAKA, 1 OKT – Penjaga gol DPMM FC, Muhammad Haime Abdullah Nyaring muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan sulung Liga Super selepas menewaskan Melaka FC 1-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Haimie menafikan sepakan Aiman Danish Abdul Azim pada minit ke-26, sebelum sekali lagi cemerlang menggagalkan percubaan import Melaka FC, Danilo Augusto Magalhaes pada minit ke-68.
Kejayaan itu melengkapkan malam gemilang buat DPMM FC selepas penyerang import Jordan Murray menyempurnakan penalti pada minit ke-36 untuk memastikan tiga mata berharga dapat dikutip dalam enam perlawanan yang telah berlangsung.
Pemain DPMM FC, Jordan Rodrigues dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain tuan rumah. Meskipun beraksi dengan 10 pemain pada 10 minit terakhir, skuad kendalian Adrian Pennock kental bertahan mengekang asakan bertali arus tuan rumah sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan sulung DPMM FC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga kesembilan liga dengan empat mata manakala Melaka FC di tangga ke-10 dengan tiga mata. – Bernama


