Hainan giat majukan pelabuhan dagangan bebas

BEIJING, 13 APRIL – Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan ke wilayah Hainan dan turut meluangkan masa mengunjungi Zon Pembangunan Ekonomi Yangpu di bandar Danzhou, kelmarin.

Yangpu merupakan zon pembangunan peringkat kebangsaan pertama di China yang dibina menggunakan pelaburan asing dan menikmati dasar kawasan dalam bon.

Untuk rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Yangpu mencatat RMB43.66 bilion (RM29 bilion) pada tahun lepas, menokok 34.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Serentak itu, sebanyak 39 laluan perdagangan dalam dan luar negeri beroperasi yang turut meliputi pelabuhan utama di negara-negara Asia Tenggara.

Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu telah menarik lebih banyak pelaburan asing, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi berorientasikan eksport di pulau itu.

Berpandukan piawaian antarabangsa, talian penting perkhidmatan pelaburan global dibuka secara berturut-turut di Hainan, disusuli penguatkuasaan siri peraturan bagi mengoptimumkan iklim perniagaan.

Difahamkan, langkah-langkah tersebut secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap pulau tropika itu.

Untuk mewujudkan pasaran lebih terbuka, Hainan juga menggerakkan mekanisme cekap untuk menarik lebih banyak modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan pelabuhan dagangan bebas.- Bernama