AMERIKA SYARIKAT, 29 OGOS – Rakyat Haiti sedang berdepan ‘situasi genting’ dan negara itu masih diabaikan, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kepada Majlis Keselamatan kelmarin.
“Pihak berkuasa negeri semakin lumpuh apabila kumpulan pengganas membanjiri Port-au-Prince dan tersebar ke luar – menjejaskan kehidupan seharian dan memaksa keluarga untuk berpindah,” kata Guterres.
“Orang awam terkepung dengan laporan mengerikan tentang jenayah rogol dan keganasan seksual. Hospital dan sekolah diserang berulang kali. Kedaulatan undang-undang telah musnah,” katanya.
Walaupun demikian, Haiti tetap diabaikan dan mengalami kekurangan dana.
Kenyataan Guterres dibuat sehari selepas sekumpulan tujuh negara termasuk Amerika Syarikat (AS) meminta Majlis Keselamatan untuk mengukuhkan pasukan multinasional yang digunakan untuk memerangi kumpulan pengganas di Haiti.
Lebih setahun selepas Misi Sokongan Keselamatan Multinasional (MSS) dikerahkan, dengan usaha awal yang diketuai oleh Kenya, keadaan di Haiti terus merosot, dengan ibu kotanya Port-au-Prince hampir dikawal sepenuhnya oleh kumpulan tersebut.
“Misi MSS mempunyai kekurangan sumber dan kapasiti untuk memenuhi cabaran sepe-nuhnya yang semakin meningkat,” menurut surat itu, yang ditandatangani bersama oleh AS, Kanada, El Salvador, Guatemala, Jamaica, Kenya dan Bahamas.
Daripada 2,500 pegawai polis yang diharapkan MMS untuk ditempatkan di Haiti, hanya 1,000 dari enam negara telah dihantar, termasuk lebih 700 dari Kenya. – AFP


