Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haiwan peliharaan robot AI jadi fenomena di Jepun

    TOKYO, 3 OGOS – Robot haiwan peliharaan berbulu lembut yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) mencetuskan fenomena di Jepun apabila ia membentuk personaliti dan keunikan tersendiri bergantung kepada cara ia “dibesarkan”, lapor Agensi Berita Kyodo.

    Moflin, ciptaan Casio Computer Co., mampu menunjukkan lebih 4 juta ciri personaliti berbeza serta mengenal pasti individu yang kerap bercakap dengannya sebagai pemilik. 

    Ia juga secara beransur-ansur mempelajari perkara yang disukai pemiliknya menerusi interaksi seperti belaian dan pelukan.

    “Pembangunan Moflin bermula dengan wanita sebagai sasaran utama. 

    “Kami membayangkan ia sebagai teman rapat yang boleh memberikan sokongan walaupun ketika berdepan tekanan kerja atau masalah peribadi,” kata ketua pasukan pembangunan Moflin, Erina Ichikawa, 42 tahun.

    Projek itu mendapat momentum selepas seorang jurutera Casio membawa masuk prototaip robot berkenaan bagi menggambarkan kecomelan haiwan kecil.

    Casio melancarkan robot itu pada November dan berjaya melepasi sasaran dengan lebih 7,000 unit terjual menjelang Mac. 

    Ia mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan wanita berusia lewat 30-an hingga 40an, menurut syarikat itu.   

    Ichikawa turut memaklumkan bahawa ada pemilik yang membawa Moflin bersama mereka ketika bercuti.

    “Orang ramai boleh merasakan bahawa Moflin milik mereka berbeza dengan Moflin orang lain kerana robot ini seperti haiwan, mempamerkan emosi dan personaliti tersendiri,” katanya.

    Robot itu dijual pada harga 59,400 yen (sekitar AS$400). 

    Casio turut menawarkan perkhidmatan tambahan, termasuk salun khas yang menyediakan cucian dan pembersihan bulu robot. – Bernama

    Moflin, ciptaan Casio Computer Co., mampu menunjukkan lebih 4 juta ciri personaliti berbeza serta mengenal pasti individu yang kerap bercakap dengannya sebagai pemilik. – ANN/The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda