Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haiwan peliharaan tonton wayang?

    SAMUT PRAKAN, THAILAND, 11 JUN – Thailand kelmarin membuka pawagam mesra haiwan peliharaan pertamanya di pinggir ibu negara, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan kepada pencinta haiwan.

    Menurut jurucakap Major Cineplex, Narute Jiensnong, haiwan itu perlu memakai lampin dan duduk dalam beg, manakala bunyi dan pencahayaan dilaras untuk keselesaan haiwan itu.

    Katanya, Bangkok bukanlah bandar yang sangat mesra haiwan peliharaan, tetapi langkah ini bertujuan memastikan haiwan itu tidak murung kerana tuannya kembali bekerja di pejabat.

    “Di pawagam mesra kanak-kanak, mereka ini akan berlari-lari sambil menjerit, jadi saya rasa pawagam haiwan peliharaan akan sama.

    “Setiap orang yang datang akan memiliki haiwan peliharaan dan memahami (jika anjing menyalak),” katanya yang mana ruang pawagam mesra haiwan itu dibina di ruang mesra kanak-kanak.

    Seekor kucing kelihatan di di pawagam mesra haiwan peliharaan, i-Tail Pet Cinema di Major Cineplex, bangunan Mega Bangna, Samut Prakan, 10 Jun. –AFP
    Haiwan peliharaan bersama pemilik mereka di dalam pawagam Major Cineplex, Mega Bangna di Samut Prakan pada 10 Jun. – AFP

    Menurut laporan, industri haiwan peliharaan di negara itu adalah yang kedua terbesar di Asia selepas China, dengan kira-kira 8.3 juta anjing dan 3.7 juta kucing pada 2021, menurut data industri.

    Pemilikan haiwan peliharaan berkembang pesat ketika wabak COVID melanda dan kini beberapa perniagaan cuba mengaitkannya sebagai satu bentuk perniagaan.

    Pada pembukaan itu, kelihatan seekor kucing putih gebu berbaju kuning bertenggek di atas kerusi pawagam di Bangkok, manakala berdekatannya pula seekor Chihuahua berkostum Sebastian the Crab bersedia untuk menonton Disney ‘The Little Mermaid’ bersama pemiliknya.

    Haiwan itu adalah puluhan penonton filem berkaki empat yang tiba dengan kereta sorong untuk menonton wayang.

    Terdahulu, awal bulan ini, syarikat gergasi perabot Sweden, Ikea turut mengumumkan anjing dan kucing kecil dialu-alukan untuk mengunjungi kedainya di Thailand, selagi ia duduk di kereta sorong.

    Walau bagaimanapun, tidak semua pemilik haiwan teruja dengan idea itu. Salah seorang penduduk Bangkok mengatakan kucingnya sering tidur di sebelahnya jika menonton TV di rumah dan dia tidak akan membawa haiwan peliharaannya ke pawagam dan merasakan konsep itu ‘bukanlah sesuatu yang semula jadi’ dan ‘menyeksakan’.

    “Dimasukkan ke dalam sangkar, saya tidak tahu sama ada ia menyeronokkan bagi haiwan itu,” katanya memberitahu AFP.

    “Tak masuk akal anjing-anjing tidak dibenarkan masuk di kebanyakan taman di Bangkok, namun ia boleh masuk ke pawagam atau kafe? Apa lagi seterusnya? Awda boleh bawa anjing atau kucing ke rumah urut?” selarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda