Bukan mudah untuk seorang artis kekal relevan tanpa terpalit sebarang kontroversi, namun penyanyi dan penyampai radio Malaysia, Haiza berjaya membuktikan disiplin dan kesungguhan mampu mempertahankan nama baiknya dalam industri seni selama tiga dekad.
Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 45, berkata dia tidak berminat untuk menjadi artis yang terpalit dengan cerita panas semata-mata demi meraih perhatian.
“Apabila orang kata saya dapat tepis segala cerita panas sedangkan saya bukan nak jadi individu yang penuh dengan cerita bukan-bukan.
“Kalau tiada perhatian diberikan pun, saya okay saja sebab saya tak nak nama terpalit dengan cerita-cerita yang mengarut.
“Selama ini saya cuba menjaga nama sebaik mungkin. Walaupun ada yang meminta saya untuk mencipta gimik, tapi rasanya tak perlu sampai ke tahap itu untuk dapat perhatian,” katanya kepada mStar.

Haiza berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-30 perjalanan karier seninya yang diadakan di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu.
Menyentuh momen paling melukakan dalam tempoh tiga dekad bergelar anak seni, Haiza mengakui pernah dituduh tidak berdisiplin ketika masih bersekolah.
Dalam pada itu, Haiza berbesar hati merakam dan melancarkan semula single Dag Dig Dug 3.0 sebagai simbolik tiga dekad kekal dalam industri.
Menariknya, lagu ciptaan Dedi Abdul Kadir Nughra itu diberi nafas baharu apabila Haiza terbang ke Bandung, Indonesia untuk merakamkan semula naskhah tersebut pada Disember tahun lalu.
Lebih mengujakan, Haiza turut berjaya mendapatkan khidmat Diki Suwarjiki selaku penerbit dan penyusun muzik sekali gus mengubah lagu tersebut berentak ‘koplo’ dan moden. – Agensi