Tuesday, December 31, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haji DIY: Murah, namun membebankan pihak berkuasa

    RIYADH – Berbekalkan kacang dan daging dalam tin, seorang warga Mesir berusia 70 tahun telah bersembunyi di sebuah apartmen di Mekah selama beberapa minggu, dengan harapan dapat mengelak daripada tindakan keras Arab Saudi dan menunaikan haji secara haram.

    Lelaki itu – yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed, nama pertamanya – adalah antara puluhan ribu umat Islam yang cuba menyempurnakan rukun Islam kelima dengan harga yang murah, menurut pegawai dan ejen pelancongan.

    Jemaah haji yang tidak berdaftar boleh menjimatkan beribu-ribu dolar dengan menolak saluran rasmi, tetapi mereka berisiko ditangkap dan dihantar pulang jika dikesan oleh pasukan keselamatan.

    “Saya telah cuba untuk mendapatkan permit haji rasmi di Mesir selama lebih daripada 10 tahun namun tidak bernasib baik,” kata Mohammed kepada AFP, merujuk kepada dokumen yang diperuntukkan di bawah sistem kuota bagi setiap negara dan diedarkan di Mesir melalui undian.

    Walaupun jika dia berjaya mendapatkan permit, pakej perjalanan paling murah yang disediakan oleh pihak berkuasa Mesir akan membebankan bekas penjawat awam itu sebanyak sekitar AS$3,700, jumlah yang menurutnya tidak mampu untuk dibayar.

    Pihak berkuasa Arab Saudi menganggarkan kira-kira 100,000 jemaah haji menyertai haji tahun lalu secara haram, menimbulkan risiko keselamatan bagi lebih 1.8 juta jemaah yang dibenarkan mengambil bahagian secara rasmi. – AFP
    Papan iklan di sebuah pusat beli-belah di Riyadh memberikan amaran kepada umat Islam yang merancang untuk mengambil bahagian dalam ibadah haji bahawa mereka harus berbuat demikian hanya jika mereka mempunyai permit. – AFP
    Suhu semasa musim haji tahun ini dijangka berada pada purata 44 darjah Celsius. – AFP

    Sebaliknya, Mohammed terbang ke Arab Saudi selepas mendapatkan visa pelancong, kemudian mengatur dengan ejen pelancongan untuk menempatkannya berhampiran Gunung Arafat, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya, dengan kos AS$933.

    Ketika dia bersiap untuk ibadah haji yang berlangsung pada bulan ini, Mohammed berkurung di dalam sebuah apartmen bersama tujuh orang lain, hanya keluar apabila benar-benar perlu.

    “Saya bersedia untuk menghadapi setiap kesulitan. Cuaca panas. Saya akan minum banyak air,” katanya.

    “Yang paling penting adalah saya akan menunaikan haji.”

    KAWALAN ORANG RAMAI

    Ibadah haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali oleh semua umat Islam yang berkemampuan.

    Ia melibatkan satu siri ritual yang dilakukan selama empat hari di Mekah dan sekitarnya di barat Arab Saudi.

    Kerajaan yang kaya dengan minyak itu memperoleh berbilion dolar setiap tahun daripada haji dan ziarah, yang dikenali sebagai umrah, yang dilakukan pada waktu lain sepanjang tahun.

    Tahun lalu, lebih daripada 1.8 juta umat Islam telah mengerjakan haji, menurut angka rasmi.

    Seorang pegawai keselamatan Arab Saudi, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu AFP bahawa terdapat juga ‘kira-kira 100,000 jemaah haji yang tidak memiliki permit yang sah’, angka yang tidak diumumkan oleh kerajaan.

    Perhimpunan yang besar telah terbukti berbahaya pada masa lalu, yang paling terkini adalah pada tahun 2015 di mana satu kejadian rempuhan berlaku semasa upacara ‘melontar jamrah’ di Mina, berhampiran Mekah, yang telah mengorbankan sehingga 2,300 orang dalam bencana haji yang paling membawa maut yang pernah berlaku.

    Kebimbangan peristiwa tersebut berulang telah mendorong pegawai Arab Saudi untuk bertindak membanteras jemaah haji yang tidak mempunyai permit dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata seorang pegawai kementerian haji dan umrah yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak dibenarkan untuk memberikan taklimat kepada media.

    “Kawasan Mekah sangat terhad, dan kehadiran haram sejumlah besar individu tanpa permit ini menghalang kawalan orang ramai dan laluan bas dan boleh menyebabkan rempuhan,” kata pegawai itu.

    Denda bagi jemaah haji yang tidak mempunyai permit dan mereka yang terlibat dalam mengangkut golongan tersebut bermula dari AS$2,666.

    Sejak bulan lalu, pegawai telah menahan sekurang-kurangnya 20 orang yang dituduh melakukan ‘penipuan’ berkaitan haji, kebanyakan daripada mereka merupakan
    rakyat Mesir, menurut laporan media kerajaan.

    Di tepi jalan dan di pusat membeli-belah, papan tanda yang menggambarkan Kaabah, struktur kubik hitam yang besar yang merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia, menunjukkan amaran: ‘Tiada haji tanpa permit’.

    Pada bulan April, Majlis Ulama Agama Tertinggi terlibat, mengeluarkan peraturan yang menyatakan bahawa ‘tidak dibenarkan pergi haji tanpa mendapatkan permit dan sesiapa yang melakukannya adalah berdosa’ dan bersalah kerana ‘memudaratkan semua jemaah haji’.

    PENYELUDUPAN JEMAAH

    Namun, masalah haji haram masih berterusan.

    Pengenalan visa pelancongan am pada tahun 2019 telah memudahkan orang ramai melawat Arab Saudi, termasuk jemaah haji yang tidak berdaftar.

    “Masih ada sejuta cara untuk membawa jemaah haji ke Arafat,” kata seorang ejen pelancongan, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana takut akan akibatnya.

    “Saya ada 100 bas yang masuk ke Arafat (semasa haji). Bolehkah semuanya diperiksa? Mustahil.”

    Haji tahun ini dijangka berlangsung dalam keadaan yang sangat mencabar daripada segi fizikal, dengan suhu purata 44 darjah Celsius.

    Bagi jemaah haji yang tidak berdaftar, risiko tekanan haba adalah lebih besar kerana mereka tidak boleh mengakses kem rasmi yang dilengkapi penyaman udara.

    Ada yang tidur di masjid atau pun di tepi jalan.

    Seorang warga Mesir berusia 37 tahun yang memberikan namanya sebagai Ayman, dan yang menunaikan haji secara haram tahun lalu selepas tiba dengan visa pelancong, menggambarkan beberapa hari yang penuh dengan kesulitan.

    “Ia sangat sukar. Tiada layanan, tiada katil, tiada penyaman udara, tiada bilik mandi,” katanya.

    “Apatah lagi,” tambahnya sambil ketawa, “tumpuan adalah untuk mengelak daripada dikesan pasukan keselamatan dan bukannya menumpukan perhatian kepada solat dan ibadat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda