Oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Inisiatif contoh dalam menyalurkan dan menggerakkan bantuan kepada pelarian Rohingya telah membolehkan seorang anak muda tempatan dikurniakan Anugerah Point of Light Komanwel ke-19 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II.
Penerima pertama Point of Light Komanwel dari Negara Brunei Darussalam, Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit merupakan pengasas organisasi kebajikan ‘Hand4handbn’ yang berpangkalan di Brunei dan aktif dalam projek sukarelawan sejak 2009.
Pada sidang akhbar di Suruhanjaya Tinggi British di ibu negara, hari ini, Haji Muhammad Iqbal Fakhri menerima perakuan daripada Baginda Ratu Elizabeth II yang diserahkan kepadanya oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Stephen Lindsay.
Dalam projek terbarunya untuk pelarian Rohingya, beliau mengembara ke kem pelarian Balukhali dan mengetuai pengagihan lebih 1,000 bungkusan makanan, derma dan keperluan lain sumbangan individu dan organisasi amal yang berlainan di negara ini.
Apabila menerima pengiktirafan itu, Haji Muhammad Iqbal, yang mana kerja-kerjanya pada peringkat tempatan juga diiktiraf sehingga dipilih sebagai pemenang Anugerah Remaja Kebangsaan tahun lalu berkata, dia benar-benar terharu menerima anugerah tersebut.