Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haji: Protokol kesihatan berkesan kurangkan tekanan haba

    RIYADH, 24 JUN – Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Al-Jalajel, mengumumkan kejayaan pelaksanaan usaha pengurusan kesihatan pada musim haji 2024.

    Pencapaian itu dicapai menerusi usaha bersepadu sistem kesihatan dan pasukan keselamatan haji, tanpa merekodkan penularan wabak atau penyakit meluas, lapor Saudi Press Agency (SPA).

    Sistem kesihatan itu menyediakan lebih 465,000 perkhidmatan rawatan khusus, termasuk 141,000 perkhidmatan kepada mereka yang tidak mendapat kebenaran rasmi untuk menunaikan haji.

    Dalam satu temu bual media, Al-Jalajel menyatakan jaminan mengenai keadaan kesihatan keseluruhan jemaah haji walaupun suhu tinggi dialami di Tanah Suci.

    Beliau menekankan kesan positif tindak balas pantas pihak berkuasa kesihatan dan sokongan berkesan pasukan keselamatan haji dalam mengurus dan mengurangkan kesan tekanan haba.

    Sistem kesihatan menangani banyak kes tekanan haba tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam jagaan. Jumlah kematian mencecah 1,301 orang dengan 83 peratus tidak dibenarkan menunaikan haji dan berjalan jauh di bawah cahaya matahari langsung tanpa perlindungan atau keselesaan yang mencukupi. Antara yang meninggal dunia ialah beberapa warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik.

    Al-Jalajel menekankan usaha penting yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tekanan haba dan kepentingan langkah pencegahan.

    Al-Jalajel juga memperincikan bahawa penyediaan perkhidmatan kesihatan percuma oleh Arab Saudi kepada jemaah haji bermula sebelum ketibaan mereka, dengan program kesedaran di lintasan sempadan udara, laut dan darat.

    Kira-kira 1.3 juta perkhidmatan pencegahan telah diberikan, termasuk pengesanan awal, vaksinasi dan rawatan perubatan semasa ketibaan. – Bernama

    Gambar menunjukkan papan iklan yang memaparkan kepentingan permit untuk menunaikan haji, di Riyadh pada 3 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda