Tuesday, February 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hak asasi manusia ‘dibelenggu’ di seluruh dunia

    GENEVA, 24 FEB – Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran hari ini bahawa hak asasi manusia sedang ‘dibelenggu’ di seluruh dunia, termasuk akibat peperangan dan keganasan serta tindakan pemimpin autokrat yang menindas pembangkang dan mengabaikan undang-undang antarabangsa.

    “Hak asasi manusia adalah oksigen bagi kemanusiaan,” kata Guterres dalam ucapan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

    “Tetapi satu demi satu, hak asasi manusia telah dibelenggu,” tambahnya, menyatakan bahawa ini dilakukan oleh autokrat yang menindas pembangkang kerana mereka takut dengan kuasa rakyat yang benar-benar diperkasakan. Oleh sistem patriarki yang menghalang gadis-gadis dari sekolah dan wanita dari hak-hak asas.

    Sementara itu, pihak yang mencetuskan peperangan “mengejek undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam PBB,” katanya, sambil menekankan bahawa peperangan dan keganasan merampas “hak rakyat untuk mendapatkan makanan, air dan pendidikan.”

    Guterres juga menekankan impak sistem kewangan global yang muflis dari segi moral dan “teknologi yang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan yang membawa potensi besar, tetapi juga berupaya untuk melanggar hak asasi manusia hanya dengan sentuhan punat.”

    Beliau juga menekankan “toleransi yang semakin berkurang terhadap kumpulan-kumpulan tertentu serta “suara-suara perpecahan dan kemarahan yang melihat hak asasi manusia bukan sebagai anugerah kepada kemanusiaan, tetapi sebagai halangan kepada kuasa, keuntungan dan kawalan yang mereka cari.”

    Semua ini, katanya, “merupakan ancaman langsung kepada semua mekanisme dan sistem yang sukar dicapai yang telah dibangunkan selama 80 tahun terakhir untuk melindungi dan memperkukuhkan hak asasi manusia.” – AFP

    Antonio Guterres menyampaikan ucapan pada pembukaan sesi ke-58 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda