Sunday, February 9, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hak cipta: AFP ‘gegar’ X

    PARIS, 3 OGOS – Agensi berita AFP melancarkan kes hak cipta di Perancis semalam terhadap gergasi media sosial Twitter, yang baru-baru ini dijenamakan semula kepada X, sebahagian daripada perjuangan global untuk memaksa firma teknologi membayar berita.

    Kumpulan media telah lama berhujah bahawa berita dan imej mereka membawa nilai kepada platform seperti X, Facebook dan Google, bermakna mereka patut mendapat sedikit keuntungan.

    Perjuangan mereka dirangsang oleh undang-undang EU 2019 yang membenarkan pembayaran untuk perkongsian kandungan di bawah rejim yang dipanggil ‘hak jiran’ dan Google serta Facebook akhirnya bersetuju untuk membayar beberapa saluran media Perancis.

    Bagaimanapun, AFP telah menuduh X, yang dimiliki oleh jutawan terkenal, Elon Musk, sebagai ‘penolakan yang jelas’ untuk terlibat dalam perbincangan mengenai hak jiran.

    AFP berkata dalam satu kenyataan ia telah mengemukakan kes dengan hakim di Paris untuk memaksa platform itu menyerahkan data yang membolehkan agensi berita Perancis itu menganggarkan tahap pampasan yang adil.

    “Sebagai penyokong utama untuk menerima pakai hak jiran untuk akhbar, AFP tetap tidak berbelah bahagi dalam komitmennya terhadap perjuangan itu,” kata kenyataan itu.

    “Agensi akan terus menggunakan cara undang-undang yang sesuai dengan setiap platform yang berkaitan untuk memastikan pengagihan adil bagi nilai yang dijana oleh perkongsian kandungan berita,” tambah kenyataan itu.

    Ketika dihubungi AFP, syarikat itu tidak segera memberikan komen, tetapi hari ini, Musk mengatakan tuntutan mahkamah itu ‘pelik’ dalam satu hantaran di X. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda