Saturday, January 4, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hak cipta Popeye, Tintin kini tamat di AS

    NEW YORK, 1 JAN – Daripada novel A Farewell to Arms hingga watak kartun terkenal, Popeye the Sailor, ribuan karya seni akan memasuki domain awam di Amerika Syarikat (AS) hari ini.

    Di bawah undang-undang hak cipta AS, perlindungan hak cipta untuk buku, filem dan karya seni lain tamat selepas 95 tahun, manakala rakaman bunyi dari tahun 1924 juga akan bebas daripada perlindungan hak cipta.

    Apabila memasuki domain awam, karya-karya tersebut boleh disalin, dikongsi, diterbitkan semula atau diadaptasi oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan bayaran kepada pemilik hak cipta.

    Antara karya tahun ini termasuk tokoh-tokoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti watak komik, Tintin, yang pertama kali muncul dalam akhbar Belgium pada tahun 1929, dan Popeye the Sailor, ciptaan kartunis Elzie Crisler Segar.

    Setiap Disember, Pusat Kajian Domain Awam menerbitkan senarai karya budaya yang akan kehilangan perlindungan hak cipta pada tahun baharu.

    Pusat itu, yang merupakan sebahagian daripada Sekolah Undang-undang Universiti Duke di Carolina Utara, menyediakan senarai tersebut di laman webnya untuk rujukan umum.

    “Pada tahun-tahun sebelumnya, kami telah meraikan watak-watak menarik yang memasuki domain awam seperti Mickey Mouse asal, Winnie-the-Pooh serta versi akhir Sherlock Holmes daripada cerita karya Arthur Conan Doyle,” kata Pengarah Pusat itu, Jennifer Jenkins, di laman webnya.

    “Pada tahun 2025, hak cipta untuk lebih banyak elemen Mickey dari versi tahun 1929, bersama dengan versi awal Popeye dan Tintin, akan tamat,” tambahnya. – AFP

    Ribuan karya seni akan memasuki domain awam di AS berikutan tamatnya tempoh hak cipta, termasuk watak ikonik Tintin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda