Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hak pekerja swasta dalam Perintah Pekerjaan 2009

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Para pekerja swasta di negara ini adalah terjaga hak-hak mereka di bawah Undang-undang Perintah Pekerjaan 2009 termasuklah daripada segi jam bekerja, kerja lebih masa dan waktu rehat menurut Bab 65.

    Jabatan Buruh dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menjelaskan waktu bekerja mengikut Perintah Pekerjaan 2009 adalah tempoh di mana pekerja hendaklah menjalankan kewajipan yang diberikan kepadanya oleh majikannya tetapi tidak termasuk masa yang dibenarkan untuk rehat, minum petang dan makan.

    Manakala bagi jam bekerja dalam sehari dan seminggu tertakluk kepada pekerja yang bukan syif, jam bekerja hendaklah tidak boleh melebihi lapan jam sehari atau lebih dari 44 jam seminggu. Manakala bagi pekerja syif, jam bekerja tidak boleh melebihi purata 44 jam seminggu atas mana-mana tempoh yang berterusan selama tiga minggu tertakluk kepada maksimum 12 jam sehari. Semua kerja yang melebihi masa seperti yang dinyatakan adalah dianggap sebagai kerja lebih masa.

    Bagi waktu bekerja dalam bulan Ramadan pula, kebenaran bagi jam bekerja dalam bulan Ramadan bagi sektor swasta adalah kurang daripada apa yang ditetapkan dalam Perintah Pekerjaan 2009, tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan majikan.

    Bagi kerja lebih masa, mana-mana kerja yang lebih daripada jam bekerja yang ditetapkan selama lapan jam sehari ataupun 44 jam seminggu adalah dianggap sebagai kerja lebih masa (overtime).

    Manakala bagi jam maksimum kerja lebih masa, pekerja adalah tidak dibenarkan untuk bekerja lebih dari 12 jam sehari (termasuk kerja lebih masa). Kerja lebih masa hendaklah dibayar jika pekerja dikehendaki bekerja di luar jam bekerja yang telah dipersyaratkan di dalam kontraknya dan pembayaran untuk kerja lebih masa mestilah dibayar dalam masa 14 hari selepas hari terakhir tempoh gaji.

    Kadar bayarannya adalah 1.5 kali kadar gaji asas gaji sejam. Had bekerja yang dibenarkan dalam sebulan pula adalah sebanyak 72 jam. Walau bagaimanapun, had ini boleh melebihi jika diberikan kebenaran oleh Pesuruhjaya Buruh.

    Menurut Bab 65 (4), mana-mana majikan yang gagal untuk membayar kerja lebih masa, jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi daripada $3,000, dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Bagi sebarang pertanyaan dan aduan pertikaian pekerjaan di sektor swasta atau mana-mana kesalahan yang berhubung kait dengan Undang- undang dan Peraturan Perburuhan, orang ramai dinasihatkan membuat aduan secara rasmi ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, Jalan Dewan Majlis.

    Orang ramai juga boleh menghubungi talian Hotline Jabatan Buruh iaitu 2381848 (pada waktu bekerja) atau menghubungi WhatsApp di talian 7298989 (selepas waktu bekerja). Sebarang penerangan lanjut boleh didapati di laman sesawang Jabatan Buruh www.labour.gov.bn

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda