Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam sentiasa menekankan keadilan dan kebajikan untuk pekerja menerima gaji yang berpatutan berdasarkan industri kelayakan masing-masing.
Pada 12 Julai 2023, Negara Brunei Darussalam telah menguatkuasakan Perintah Pekerjaan (Upah Minimum), 2023 di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 untuk menyediakan gaji berpatutan kepada gaji minimum sebanyak $500 sebulan bagi pekerja sepenuh masa dan $2.62 sejam bagi pekerja sambilan.
Dasar upah minimum ini dilaksanakan secara berfasa bermula dengan industri perbankan dan kewangan serta industri teknologi maklumat dan komunikasi.
Fasa seterusnya akan bermula 1 April ini meliputi lima industri iaitu keselamatan; pelancongan dan penginapan; arkitek dan kejuruteraan; profesional ukur bahan dan ukur tanah; perubatan dan pergigian dan pendidikan tinggi swasta.
Selain itu, upah minimum berkenaan akan dinilai secara berkala untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan selaras dengan perkembangan ekonomi dan keperluan semasa.
Penerangan berkenaan diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Persidangan MMN ke-21 bagi hari kesembilan yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis kelmarin ketika mengulas cadangan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir untuk mengemas kini dasar dan akta yang sedia ada dengan mengambil kira memberi perlindungan kepada semua pihak.
“Akta Perintah Pekerjaan, Penggal 278 juga melindungi hak majikan dan pekerja dengan memastikan tanggungjawab dan akauntabiliti kepada piawaian pekerjaan termasuk majikan menghormati hak pekerja dan menyediakan persekitaran hak pekerjaan yang kondusif,” tegasnya.
Yang Berhormat Dato turut menekankan kepentingan para pekerja menghormati dan mematuhi kontrak pekerjaan mereka supaya boleh memberi manfaat kepada majikan.
Jelasnya lanjut, pihak kerajaan juga memperkenalkan dan memperkukuhkan beberapa dasar dan akta seperti perlindungan sosial pekerja tempatan dan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) pada 15 Julai 2023 yang mana semua jenis pekerjaan sama ada sektor formal mahupun tidak formal adalah terjaga.
Dari segi tempat pekerjaan yang selamat dan kondusif pula, satu Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Penggal 277 dan Peraturan-peraturan di bawahnya telah dikuatkuasakan oleh Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA). Ini adalah bagi menggalakkan pekerja dan majikan mengamalkan budaya memelihara keselamatan di tempat kerja yang dipatuhi dan terjaga.
“Manakala bagi memastikan pihak majikan mempunyai pekerja yang kompeten, pihak kerajaan telah menyediakan platform bagi pembangunan tenaga manusia melalui program upskilling dan reskilling.
“Platform berkenaan bukan hanya memberikan manfaat kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran malah ia juga membolehkan majikan untuk meningkatkan daya saing perniagaan dengan tenaga kerja yang kompeten dan produktif,” jelas Yang Berhormat Dato.
