WASHINGTON, 26 MAC – Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) kelmarin menetapkan tarikh perbicaraan pada 23 Jun dalam kes jenayah Jabatan Kehakiman terhadap pengeluar pesawat Boeing berhubung dua kemalangan maut 737 MAX pada 2018 dan 2019.
Dalam dua pemfailan mahkamah di Texas, Hakim Reed O’Connor berkata beliau menetapkan tarikh akhir 11 April untuk Boeing dan pendakwa raya mengumumkan perkembangan dalam perjanjian pengakuan, dan meneruskan perbicaraan ke atas dua nahas itu, di mana 346 orang terbunuh.
Selepas kemalangan itu, kesemua 737 MAX telah digantung selama 20 bulan di seluruh dunia. Boeing mengakui pada April 2019 bahawa Manuvering Characteristics Augmentation System (MCAS) sebahagiannya dipersalahkan.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Boeing berkata ia masih terlibat dalam perbincangan dengan Jabatan Kehakiman berhubung penyelesaian yang sesuai mengenai isu itu.
Walaupun keputusan kelmarin, syarikat itu masih boleh mencapai persetujuan secara teori dengan pihak pendakwaan mengenai pengakuan bersalah baharu, yang akan mengelakkan reputasinya daripada terjejas yang dikaitkan dengan perbicaraan jenayah awam.
Jabatan Kehakiman enggan mengulas mengenai kes itu.
“Saya sangat gembira kerana Hakim O’Connor dari Texas telah menamatkan taktik penangguhan Boeing dan Jabatan Kehakiman,” kata Catherine Berthet, yang mana anak perempuannya, Camille, meninggal dunia dalam salah satu nahas itu. – AFP
