KUALA LUMPUR, 11 MEI – Semangat juang luar biasa ditampilkan pelumba muda sensasi negara Malaysia, Hakim Danish Ramli apabila bangkit daripada insiden kemalangan di awal perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat kedua pada Perlumbaan 2 saingan Red Bull Rookies Cup di Litar Le Mans, Perancis, sebentar tadi.
Meskipun terjatuh pada pusingan pertama dalam keadaan litar basah dan mencabar, anak jati Kuala Terengganu berusia 17 tahun itu tidak menyerah kalah, sebaliknya bingkas bangun, kembali menguasai litar dan mengejar satu demi satu pencabar untuk kembali menaiki podium.
Hakim yang memulakan perlumbaan dari petak utama menamatkan perlumbaan di belakang juara dari Sepanyol, Benat Fernandez yang mencatat masa 25 minit 46.423 saat (s).
Tempat ketiga pula menjadi milik wakil Argentina, Marco Morelli dengan ketinggalan 21.922s di belakang pemenang.
“Saya sangka sudah terlepas peluang podium, tetapi saya angkat semula motosikal, tenangkan diri dan cuba potong seberapa ramai pelumba yang saya mampu. Syukur, saya berjaya,” katanya yang turut meraih dua tempat kedua pada pusingan pembukaan di Jerez, Sepanyol.
Lebih manis, keputusan podium itu menyaksikan Hakim Danish kekal pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 80 mata – selesa mendahului Fernandez (57 mata) dan seorang lagi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte (50 mata) di tangga ketiga. – Bernama
