KUALA LUMPUR, 23 APRIL – Pelumba muda Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli berada di landasan terbaik untuk menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan menerusi kerjasama dengan pasukan MT Helmets, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.
Beliau bagaimanapun berkata tempat itu belum dijamin sepenuhnya dan bergantung kepada prestasi semasa pelumba berusia 17 tahun itu, yang dianggap penting sepanjang musim ini.
“Insya-Allah tempat untuk Hakim Danish dah pun ada di situ di bawah MT Helmets.
Terpulang kepadanya dan dia perlu tunjukkan bahawa dia benar-benar layak. Kadang-kadang bila tempat itu sudah tersedia di depan mata tetapi prestasi tidak ditunjukkan, saya rasa tidak adil kerana masih ramai pelumba lain yang juga layak diberi peluang.
“… tetapi buat masa ini, Hakim Danish berada di kedudukan teratas untuk mengisi tempat itu tahun depan. Kita telah tetapkan beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk sasaran menduduki kelompok lima terbaik.

Saya nak letak kedudukan ketiga terbaik dan sasaran podium dalam JuniorGP dan sekurang-kurangnya kelompok tiga terbaik dalam Piala Red Bull Rookies,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Surat Aku Janji (LOU) antara SIC dan AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur hari ini.
Azhan Shafriman berkata SIC kini dalam perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan sokongan kewangan selain membuka ruang kepada penajaan sektor swasta untuk merealisasikan penyertaan Hakim Danish ke Moto3.
“Kita telah maklumkan kepada Zulfahmi Khairuddin (Pengurus Pasukan SIC Racing) bahawa tahun depan kita perlu bersedia dari segi bajet. Walaupun tempat itu telah disediakan oleh MT Helmets, keputusan sama ada yuran penyertaan diserap pihak mereka atau ditanggung kita masih belum dimuktamadkan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan SIC turut merancang untuk menampilkan Hakim Danish sebagai pelumba wildcard pada perlumbaan MotoGP Malaysia hujung tahun ini bergantung kepada prestasi pelumba itu yang perlu memenuhi piawaian ditetapkan. – Bernama