Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Hakim Danish mahu kekalkan momentum

    SEPANG, 15 NOV – Selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 pada Ahad lepas, pelumba muda Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli berharap mampu mengekalkan momentum kemenangan dalam penampilan sulungnya di Red Bull MotoGP Rookies Cup musim 2023.

    Perlumbaan yang berlangsung di Mandalika International Street Circuit di Lombok, Indonesia itu menyaksikan pelumba berusia 15 tahun yang lebih mesra disapa Hakim Danish menjadi rakyat Malaysia pertama dan pelumba kedua dari Asia Tenggara bergelar juara keseluruhan, sejak saingan perlumbaan itu mula diperkenalkan pada 2014.

    Pelumba muda yang berasal dari Terengganu itu mengumpul 187 mata keseluruhan di posisi teratas senarai kedudukan pelumba, mengetepikan cabaran Shinya Ezawa dari Jepun yang mengumpul 177 mata dan pelumba tuan rumah Vede Ega mengutip 141 mata bagi kedudukan di posisi ketiga.

    Anak kedua dari empat adik beradik itu tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur apabila mampu menutup tirai perlumbaan musim 2022 dengan penuh bergaya, sekali gus berharap terus menghasilkan ‘magis’ pada tahun hadapan.

    “Saya sangat gembira dapat gelaran juara keseluruhan ATC dan sebagai rakyat Malaysia pertama menang kejuaraan ini. Saingan sangat sengit sebelum perlumbaan terakhir di Lombok di mana saya hanya dibezakan tiga markah dengan Shinya Ezawa dari Jepun.

    “Tahun ini puas hati, tahun depan perlu bekerja keras dan kekal momentum kerana akan mula bermain dalam Red Bull Rookies Cup di mana pelumba Eropah mempunyai kelajuan yang tinggi jadi kena mula buat persediaan yang awal,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin. – Bernama

    Hakim Danish menjadi rakyat Malaysia pertama dan pelumba kedua dari Asia Tenggara bergelar juara keseluruhan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...