Tuesday, May 6, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hakim Danish pamer tunggangan mengagumkan di Estoril

    KUALA LUMPUR, 5 MEI – Bintang muda permotoran negara, Muhammad Hakim Danish Ramli memulakan kempen Kejuaraan Dunia Grand Prix Remaja (JrGP) 2025 dengan bergaya apabila menamatkan saingan di tempat kedua pada pusingan pembukaan di Circuit do Estoril, Portugal, kelmarin.

    Pelumba UAX SeventyTwo Artbox, Brian Uriarte muncul juara dengan catatan 27 minit 45.045 saat (s) meninggalkan Hakim Danish yang mewakili SIC Racing-MSI di tempat kedua (+7.931s) dan Rico Salmela daripada Estrella Galicia 0,0 melengkapkan podium di kedudukan ketiga (+10.403s).

    Hakim Danish dalam satu kenyataan bersyukur dapat memberikan tentangan kepada Uriarte biarpun bermula agak kurang baik pada awal perlumbaan.

    “Saya tahu Brian ada kelajuan yang lebih baik dan dalam kelompok tadi saya cuba ikut, tetapi rentak kumpulan saya agak perlahan. Untuk perlumbaan seterusnya, saya akan cuba kekal bersama dia,” katanya.

    Pencapaian berkenaan menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu kini di kedudukan kedua bagi carta keseluruhan dengan 20 mata di belakang Uriarte yang berada di tempat pertama dengan 25 mata.

    Dalam penampilan sulungnya dalam JrGP musim lepas, Hakim Danish menamatkan saingan di kedudukan ke-15 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata. – Bernama

    Gambar fail penampilan sulung Hakim di pentas antarabangsa berjaya memperbaiki kedudukan kelima yang diraihnya pada Perlumbaan 1 pada 2023. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda