Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hakim: Kes ceroboh rumah perlu ditangani segera

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Hakim Mahkamah Perantaraan Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Abu Hurairah, baru-baru ini, membangkitkan keperluan segera untuk menangani isu-isu pencerobohan rumah yang melibatkan kecurian semasa menjatuhkan hukuman kepada pesalah pada Rabu lalu.

    Hakim berkata kes-kes seperti ini semakin biasa terjadi yang bermakna negara tidak lagi selamat seperti sebelumnya.

    “Terdapat keperluan mendesak untuk menangani isu ini oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Dalam pada itu, mahkamah akan terus mengenakan hukuman pencegahan yang keras untuk mengelak pesalah masa depan atau berulang melakukan perbuatan itu lagi,” ujar pihak mahkamah lagi.

    Dalam pada itu, Muhammad Rejab bin Haji Ramli telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun 11 bulan, selepas mengesahkan tidak dapat membayar denda.

    Defendan telah menceroboh empat unit kediaman pangsapuri di Gadong sebanyak empat kali pada bulan September.

    Gambar Freepik

    Pendakwa raya Nurul Husna Abidin mendedahkan, pada pagi 26 September lalu, beberapa pekerja penyelenggaraan bangunan membuat pemeriksaan di salah sebuah unit tersebut setelah menerima aduan daripada penyewa terdahulu.

    Semasa mereka tiba, mereka mendapati pintu unit itu terhalang dari dalam. Mereka kemudian membuka pintu secara paksa dan mendapati ia telah digam. Apabila masuk, mereka melihat seorang lelaki sedang tidur dan segera melaporkannya kepada pihak polis.

    Apabila pihak polis tiba di unit tersebut, mereka telah menahan defendan dan memeriksa kawasan tersebut yang membawa penemuan barang curi.

    Semasa disiasat, defendan menyatakan dia naik ke tingkat atas bangunan itu untuk mencari tempat tinggal.

    Dia kemudian membuka pintu unit yang tidak berkunci dan bermalam dan tinggal di sana sehinggalah di saat dia ditangkap.

    Siasatan turut merungkai kegiatan ceroboh defendan ke atas dua unit lain yang menjadikan dua penyewa sebagai mangsanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda