Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hakim Mexico maut ditembak empat kali

    BANDAR MEXICO, 12 DIS – Seorang hakim ditembak mati kelmarin di bandar pantai Acapulco, kata media tempatan dan pejabat pendakwa raya negeri itu.

    Akhbar tempatan mengenal pasti hakim yang dibunuh sebagai Presiden Mahkamah Tinggi di negeri Guerrero, Edmundo Roman Pinzon, dan berkata dia telah ditembak empat kali di dalam keretanya di luar mahkamah Acapulco.

    Negeri selatan Guerrero adalah salah satu kawasan yang paling teruk dibelenggu keganasan di Mexico yang dikaitkan dengan jenayah terancang, dan telah menyaksikan beberapa siri serangan maut tahun ini.

    Pada Oktober lalu, datuk bandar ibu negeri Chilpancingo telah dibunuh dan dipenggal kepalanya hanya beberapa hari selepas memegang jawatan.

    Beberapa minggu kemudian, pertempuran bersenjata antara anggota kumpulan yang didakwa dan pasukan keselamatan menyaksikan 19 orang terbunuh di negeri itu. Manakala bulan lalu, belasan mayat yang dikerat ditemui dalam kenderaan di Chilpancingo.

    Pejabat pendakwa negeri Guerrero kelmarin berkata dalam satu kenyataan, ia telah menyiasat jenayah pembunuhan dahysat terhadap Edmundo.

    Pembunuhan itu berlaku hanya seminggu selepas Presiden Claudia Sheinbaum mengetuai mesyuarat Majlis Keselamatan Awam Negara di Acapulco, yang dihadiri gabenor negeri. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda