HONOLULU, 14 Julai – Seorang hakim persekutuan di Hawaii semalam menambah senarai hubungan keluarga yang diperlukan oleh orang yang ingin mendapatkan visa baru dari enam negara Islam untuk mengelak pengharaman perjalanan oleh Presiden Donald Trump. Hakim Daerah AS Derrick Watson mengarahkan kerajaan supaya jangan menguatkuasa pengharaman ke atas datuk nenek, cucu, abang ipar, kakak ipar, ibu saudara, bapa saudara, anak saudara dan sepulu penduduk di Amerika Syarikat.
“Akal budi, misalnya menentukan bahawa ahli keluarga rapat adalah mereka yang termasuk datuk nenek,” kata Hakim Daerah AS Derrick Watson dalam keputusannya. “Datuk nenek adalah contoh unggul ahli keluarga yang rapat.” Mahkamah Agung AS pada bulan lalu mengecualikan pemohon visa daripada pengharaman jika mereka boleh membuktikan hubungan ‘bona fide’ dengan rakyat atau entiti AS.
Pentadbiran Trump berkata pengharaman tidak dikenakan kepada warga enam negara dengan ibu bapa, pasangan suami isteri, tunang, anak lelaki, anak perempuan, menantu ataupun adik-beradik yang telahpun berada di AS.

Hawaii berkata datuk nenek, bapa saudara dan ibu saudara dan saudara rapat lain juga harus dikecualikan. Negeri itu meminta Watson, yang menyekat pengharaman perjalanan baru presiden pada Mac, supaya menjelaskan bahawa ahli keluarga berkenaan juga dikecualikan daripada pengharaman.
Watson menolak permintaan Hawaii, berkata negeri itu harus pergi ke Mahkamah Agung AS memandangkan ia berusaha mendapatkan penjelasan tentang syarat-syarat ‘hubungan bona fide’ oleh mahkamah. – AP