Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Hakim tolak tuntutan balu atas pendapatan perniagaan suami

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Mahkamah Tinggi pada 7 April lalu telah membuat keputusan untuk menyelesaikan pertikaian dalam tuntutan perniagaan berkaitan harta pusaka keluarga dalam saman sivil.

    Plaintif dan perayu, Kusum Devi diwakili Peguam Lt Kol (B) Harif Ibrahim dari firmanya sendiri. Defendan dan responden ialah Sri Krishna dan seorang lagi, diwakili oleh Peguam Shirley Ng dari Messrs Shirley Ng and Partners.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Kehakiman Edward Timothy Starbuck Woolley mengendalikan rayuan tersebut. Kusum Devi adalah balu dan pentadbir harta pusaka mendiang suaminya Lakshmi Prasad yang meninggal dunia 10 Oktober 2017.

    Dia menuntut sebahagian aset dan pendapatan perniagaan daripada defendan yang dijalankan oleh mendiang suaminya dan Sri Krishna.

    Mahkamah Tinggi secara ringkas berkongsi latar belakang tuntutan di mana seorang lelaki, Ram Dhani datang ke Brunei dari India pada 1972 bersama anak sulungnya untuk bekerja dan memulakan perniagaan menjual barangan runcit, katering, pakaian wanita dan kedai jahitan.

    Perniagaan itu beroperasi di premis yang disewa di Rejimen Gurkha Tentera British di Seria.

    Anak lelaki sulungnya meninggal dunia pada 1979 dan Ram Dhani meminta anak keduanya, Lakshmi Prasad untuk menyertainya.

    Kemudian pada 1983, anak lelakinya yang seterusnya, Sri Krishna menyertai perniagaan itu.

    Perniagaan ini didaftarkan pada 1984 buat pertama kali berdagang di bawah nama dan gaya Ram Dhani Family Canteen Contractor dengan dirinya sebagai pemilik tunggal.

    Lakshmi Prasad dan Sri Krishna telah didaftarkan sebagai pekerja di bawah kuota buruh. Pada 1986, Lakshmi Prasad dan Sri Krishna telah ditambah sebagai rakan kongsi dalam perniagaan.

    Kemudian pada 1988, defendan kedua yang telah menjadi rakan kongsi tidak rasmi sejak awal telah didaftarkan sebagai rakan kongsi, hanya kerana dia merupakan seorang penduduk tetap Brunei dan tidak meminta bahagian serta tiada kepentingan kewangan.

    Ram Dhani akhirnya bersara, kembali ke India dan meninggalkan perniagaan itu kepada Lakshmi Prasad.

    Pada 2016, Lakshmi Prasad meninggal dunia meninggalkan Sri Krishna sebagai rakan kongsi tunggal yang masih hidup dan menjalankan perniagaan itu.

    Kusum Devi memohon namanya didaftarkan sebagai rakan kongsi, tetapi ia terbukti mustahil kerana dia bukan penduduk tetap Brunei. Dia kemudian menuntut 50 peratus pemilikan perniagaan sebagai benefisiari.

    Dia juga mendakwa $200,000 dikeluarkan daripada akaun perniagaan pada hari selepas kematian Lakshmi.

    Sri Krishna membalas dengan mengatakan bahawa dia merupakan rakan kongsi bersama Lakshmi Prasad dan selepas kematiannya, Sri Krishna menjadi pemilik tunggal.

    Hakim Woolley telah menolak tuntutan plaintif untuk 50 peratus pemilikan dalam perniagaan operasi atas alasan bahawa perniagaan itu adalah perkongsian antara Lakshmi Prasad dan Sri Krishna. Rakan kongsi yang masih hidup berhak untuk menjadi pemilik tunggal.

    Mahkamah juga memutuskan bahawa $200,000 yang dikeluarkan oleh anak-anak Sri Krishna dengan persetujuan defendan kedua, bagi tujuan mengelakkan aset dibekukan apabila kematian rakan kongsi, atas alasan untuk dapat meneruskan pembayaran bil demi kepentingan firma, telah diketepikan kerana wang firma itu adalah aset kepada syarikat dan milik syarikat milikan tunggal yang tinggal, iaitu Sri Krishna.

    Kenderaan yang dimaksudkan seperti semua kenderaan lain adalah aset firma dan dimiliki sepenuhnya oleh Sri Krishna sebagai rakan kongsi yang tinggal.

    Hakim Woolley menyimpulkan keputusannya dengan mengarahkan kos defendan dikenakan cukai jika tidak dipersetujui.

    Kos defendan kedua telah diperintahkan atas dasar indemniti penuh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...