RABAT, 20 NOV – Kapten Maghribi, Achraf Hakimi, memenangi Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Afrika kelmarin, melengkapkan musim di mana dia menjulang Liga Juara-Juara UEFA bersama kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG).
Pemain berusia 27 tahun itu juga memenangi gelaran Ligue 1 keempat musim lalu dan merangkul Piala Perancis dan Piala Super UEFA, namun PSG tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab apabila Hakimi terpaksa berpuas hati dengan pingat naib juara di New York.
Bek kanan itu menewaskan dua pemenang terdahulu iaitu penyerang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah dan penyerang Nigeria, Victor Osimhen, untuk merangkul trofi itu buat kali pertama dalam kerjayanya.
“Ia satu penghormatan bagi saya untuk berada di sini hari ini dan saya bangga memenangi trofi berprestij ini,” kata Hakimi, sebelum mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan sepasukan dan jurulatih Maghribi, Walid Regragui.
“Trofi ini, bukan hanya untuk saya, ia adalah untuk semua lelaki dan wanita kuat yang mempunyai impian di Afrika dan mereka yang bermimpi untuk menjadi pemain bola sepak,” tambahnya. – AFP

