Hakimi selamatkan PSG

PARIS, 23 SEPT – Jaringan kemenangan penuh dramatik pada minit akhir oleh Achraf Hakimi membolehkan Paris Saint Germain (PSG) menang 2-1 ke atas kelab tercorot, Metz kelmarin sekali gus mengekalkan rekod bersih dalam Ligue 1 meskipun tanpa kelibat Lionel Messi.

Pertahanan Maghribi yang menyertai PSG dari Inter Milan itu meledak gol pembukaan seawal minit kelima sebelum Kiki Kouyate menyamakan kedudukan.

Namun, keadaan kecoh apabila Metz terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan jurulatihnya, Frederic Antonetti turut diarahkan ke tempat duduk penyokong sebelum jaringan minit ke-94 oleh Hakimi.

Ini menyaksikan PSG mempunyai kelebihan tujuh mata di kejuaraan liga mengatasi Marseille selepas melakar tujuh kemenangan pada musim ini.

“Pasukan ini berjuang sehingga penamat dan tidak mengaku kalah. Mereka mempunyai kelebihan untuk mengatasi diri sendiri dengan karakter masing-masing dan ganjaran tiba di penghujungnya,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

Hakimi memberikan gol pendahuluan buat PSG, namun Kouyate menanduk masuk gol penyamaan enam minit sebelum rehat.

Permintaan Metz untuk sepakan penalti apabila bola terkena tangan Hakimi tidak dilayan oleh pengadil dan drama sebenar tercetus pada minit ke-90 apabila pertahanan Metz, Dylan Bronn dilayangkan kad kuning kedua selepas menendang bola keluar.

Antonetti turut berdepan nasib sama dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh PSG yang akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi Hakimi hasil hantaran Neymar.

Juara liga sebanyak tujuh kali dalam tempoh sembilan musim itu meraikan gol itu dengan meriah dan Neymar turut dilayangkan kad kuning selepas itu. – AFP

Aksi Achraf Hakimi (kanan) semasa menjaringkan gol kedua pasukannya dalam perlawanan di antara FC Metz dan Paris Saint-Germain di Stadium Saint-Symphorien di Longeville-les-Metz, timur Perancis pada 22 September. – AFP