QERRET, Albanie – Asim Krasniqi merenung bimbang apabila melihat air Laut Adriatik semakin menghampiri kedainya di Albania, sebuah negara yang menghadapi masalah hakisan pantai.
“Saya sedih melihat keadaan pantai di sini,” katanya kepada AFP sambil mengenang kembali suasana pantai di Qerret sebelum ini, yang berada di barat ibu kota Tirana, yang lebih luas dan ‘ramai’ pelancong asing datang mengunjungi.
“Hari ini ianya semakin teruk,” katanya.
Anggota alam sekitar mengatakan bahawa ia berpunca daripada gabungan perubahan iklim dan pembangunan bandar yang tidak terkawal di sebalik kehilangan pesisir pantai di negara Balkan itu.
“Laut telah menelan pantai ini. Ia telah membalas dendam terhadap perlakuan manusia, yang telah menghancurkan alam semula jadi,” kata Sherif Lushaj, pakar alam sekitar di Universiti Polis Tirana.
Fenomena ini telah mula menjadi serius dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata Lushaj kepada AFP.
Lebih jauh ke utara di sepanjang pantai, berhampiran dengan pembinaan konkrit di bandar peranginan Shengjin, berpuluh-puluh batang pokok telah berada di air, satu petunjuk bahawa ia pernah menjadi kawasan hutan diantara laut dan lagun Kune.
Lagun ini diambang ancaman. Ia semakin kurang dilindungi oleh jalur tanah yang sangat tipis dan cepat menghilang.
Pernah berada di bukit berpasir, kubu nuklear yang dibina semasa era komunis diktator Enver Hoxha juga kini dalam bahaya dan telah berada di kawasan perairan.
Manakala yang lainnya telah dikelilingi oleh laut.
Daripada 427 kilometer (265 batu) pantai Albania, “154 telah dipengaruhi oleh hakisan,” kata Menteri Alam Sekitar, Blendi Klosi memberitahu AFP.
Kadang-kadang ianya tidak kelihatan, oleh kerana kemaraan laut tersebut di kawasan lainnya yang telah mencapai kadar 20 meter setahun, katanya.
Berhampiran Shengjin, ia telah menelan “kira-kira 400 meter kawasan tanahnya sepanjang tempoh 15 tahun yang lalu,” kata menteri itu.
“Tempat ini akan pupus jika negara ini tidak mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” kata Osman Demi, seorang nelayan berusia 60-an yang mengingati ‘malam yang mengerikan’ pada 31 Disember 2009, apabila banjir secara tiba-tiba telah membanjiri kampungnya.
“Kami menangkap ikan, ketam, ikan belanak di sini. Kemusnahan lagun ini akan menjadi satu bencana,” kata rakannya, Albert Pati, sambil menambah bahawa pantai ini pernah dipenuhi oleh ikan, ‘perairannya kini sudah mati’.
Burung undan kini telah menghilang dari lagun ini. Dalam banci yang telah dilakukan setahun yang lalu mendapati bahawa hanya 7,000 ekor burung telah turun ke sini daripada 50,000 ekor pada tahun tahun 1970-an.
Tidak lama lagi, jika tiada usaha yang dilakukan, penduduk yang tinggal di sini juga akan beransur pergi.
Terdapat 2,000 buah rumah telah terjejas oleh kemaraan air laut tersebut, menurut Jak Gjini, yang bertanggungjawab terhadap isu-isu alam sekitar di perbandaran Lezhe, meliputi Shengjin.
“Keadaan ini sungguh dramatik,” katanya.
Semuanya adalah disebabkan oleh ‘penaklukan’ laut. Perubahan iklim, dengan peningkatan ribut musim sejuk yang semakin mengganas telah memacu air tersebut menghampiri kawasan bandar.
Kemudian penebangan hutan berskala besar juga telah mengestrak pasir dari sungai-sungai dan juga pembinaan perbandaran yang semakin berleluasa di sepanjang pantai itu.
Hampir kosong semasa musim sejuk, Shengjin adalah rumah kepada 15,000 orang pada musim panas di mana para pelancong dan kakitangan bermusim telah mendiami kediaman di blok bangunan konkrit bertingkat, yang dibina di atas tanah berpasir lagun tersebut.
Mereka yang telah melabur di sini adalah ‘bos’, kata seorang nelayan. ‘Bos-bos’ ini membinanya tanpa permit, yang mana mereka akan dapatkannya selepas bangunan didirikan dengan cara rasuah semasa kempen pilihan raya.
“Penduduk di sini merasa takut untuk mengambil peduli terhadap orang yang berkuasa itu. Undang-undanglah yang paling kuat,” kata Gjini.
“Pembinaan ini adalah hasil tekanan yang dikenakan oleh individu untuk membina tanpa mengambil kira perancangan bandar.”
Di kedainya di Qerret, Krasniqi menunjukkan jeti berbatu tepat ke pantai yang kini telah ditenggelami laut.
Ia dibina tanpa izin oleh pemilik vila atau hotel di pantai itu yang berharap agar mereka dapat melindungi harta benda mereka daripada hakisan – tetapi dalam berbuat demikian, mereka hanya mengalihkan masalah itu dengan membina pembinaan di kawasan jiran.
“Mereka telah mengubah arus, menimbulkan masalah,” katanya.
Menteri Klosi menjanjikan bahawa “semua pembinaan haram di laut itu akan dimusnahkan dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum”.
Tetapi tindakan itu belum mencukupi, menurut Eglantina Bruci, pakar perubahan iklim bagi Program Pembangunan PBB di Tirana.
“Satu-satunya penyelesaian … ialah pembinaan struktur batu selari dengan penambahan pantai dan pasir.”
Gjini berkata kos bagi langkah itu akan menjadi ‘luar biasa’ bagi salah satu daripada negara-negara termiskin di Eropah – tetapi tanpa adanya usaha dilakukan, Albania pasti menjadi lebih miskin hari demi hari, katanya.
“Tanah Albania semakin susut.” – AFP