Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hakisan pantai dedah kapal era 1800

    FLORIDA, 7 DIS – Hakisan pantai teruk akibat dua hurikan pada akhir musim telah membantu menemukan kapal kayu bertarikh 1800 yang telah tertimbus di bawah pasir di Pantai Timur Florida selama dua abad, tidak terjejas kepada kereta yang berulang-alik di pantai atau istana pasir yang dibina oleh pelancong.

    Pengunjung pantai dan anggota penyelamat menemui struktur kayu itu, di antara 24 meter hingga 30.5 meter, terjulur keluar dari pasir pada hujung minggu di depan rumah yang roboh di Pantai Daytona akibat Hurikan Nicole pada bulan lalu.

    ”Apabila awda menemui bangkai kapal di pantai, ia benar-benar kejadian yang luar biasa. Timbulnya misteri, ia tidak ada di sana pada satu hari, kemudian ia berada di sana keesokan hari. Ramai yang terpukau dengan penemuan ini,” kata ahli arkeologi Chuck Meide.

    Kumpulan arkeologi membuang pasir dan menggali parit cetek di sekeliling struktur kayu, mencatat ukuran dan membuat lakaran dalam usaha untuk menyelesaikan misteri berusia 200 tahun itu. Mereka menggali menggunakan penyodok dan tangan ketika lebih banyak struktur terdedah, dan berhati-hati tidak merosakkan sebarang kayu.

    Meide, pengarah penyelidikan Muzium St Augustine Lighthouse di Florida, berkata dia yakin struktur adalah bangkai kapal disebabkan cara ia dibina dan bahan seperti bolt besi yang digunakan.

    Tidak ada rancangan untuk memindahkan kapal dari Pantai Daytona, bukan hanya disebabkan kos yang mungkin mencecah jutaan dolar, tetapi disebabkan ia terlindung di mana ia berada, tertimbus dalam pasir basah, kata Meide.

    ”Kami akan membiarkan alam semula jadi menimbus bangkai kapal itu,” katanya. “Ia akan membantu memuliharanya. Asalkan badan kapal berada dalam keadaan gelap dan basah, ia akan tahan untuk masa yang lama, ratusan tahun lagi.” – AP

    Arielle Cathers mencatat maklumat dalam buku nota di tapak struktur kayu terdedah dalam pasir di Pantai Daytona, Florida pada 6 Disember 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda