Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Halal Park Cambodia sasar industri halal global

    PHNOM PENH, 15 SEPT – Kemboja mencontohi rakan-rakan ASEAN yang lain dengan menubuhkan taman halal pintar bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan, perkhidmatan dan produk halal yang kini menjadi pasaran global bernilai trilion dolar.

    Pertumbuhan luar biasa itu didorong oleh peningkatan permintaan terhadap makanan bersih, keutamaan diet yang berubah dan perubahan demografi yang membentuk semula pasaran makanan halal global.

    Projek Halal Park Cambodia yang diterajui sektor swasta akan menempatkan negara tersebut setanding dengan pemain utama serantau lain iaitu Malaysia, Thailand, dan Indonesia yang kini mendominasi pasaran itu.

    Pengerusi dan Pengasas Halal Park Cambodia, Mohd Amin Mohd Zain, berkata tumpuan awal adalah untuk menubuhkan pusat penyediaan makanan halal atau central kitchen bertingkat dan zon halal khusus dalam kelompok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat WorldBridge.

    “Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan pembangunan rantaian bekalan halal yang kukuh untuk PKS tempatan, sambil menarik perniagaan antarabangsa untuk melabur dalam pasaran halal Kemboja yang sedang berkembang pesat.

    “Dengan menggalakkan pertumbuhan ini, kami berhasrat untuk memperkukuh industri halal di peringkat tempatan dan global,” kata Mohd Amin pada pelancaran di Phnom Penh, kelmarin.

    WorldBridge ialah konglomerat Kemboja yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk hotel, logistik, makanan dan minuman, serta hartanah.

    Kesedaran mengenai halal yang semakin meningkat dan pendapatan yang lebih baik telah memacu pasaran domestik yang baharu muncul, dengan lebih dua peratus daripada 16 juta penduduknya beragama Islam di Kemboja.

    Pusat Penyelidikan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-Negara Islam, anak syarikat Pertubuhan Kerjasama Islam melaporkan bahawa saiz pasaran industri halal bernilai AS$3.7 trilion pada 2020 dan dijangka meningkat kepada AS$4.7 trilion tahun ini. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda