Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Bersesuaian dengan identitinya sebagai ‘Raudhah al-Zikr’, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien telah mengadakan Program Halaqah Zikir bagi pegawai dan kakitangan kerajaan serta syarikat swasta, hari ini.
Program yang akan diadakan pada minggu pertama setiap bulan itu bertujuan untuk menyahut hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Selain itu bagi merelisasikan identiti Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sebagai ‘Raudhah Al-Zikr’ di samping menjadikan zikir sebagai amalan harian setiap kakitangan jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang terlibat.
Ia juga dihasratkan untuk sama-sama berdoa semoga Negara Brunei Darussalam, khasnya jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta akan sentiasa diberkati Allah SWT, mencapai kejayaan, diluaskan pintu rezeki, dijauhi dari sebarang bala bencana dan akan menjadi jabatan atau syarikat yang menitik beratkan nilai-nilai Islam yang unggul.
Halaqah Zikir diketuai oleh pehin-pehin khatib dan mudim-mudim serta pegawai-pegawai Masjid Omar Ali Saifuddien. Manakala itu, antara pengisiannya pula ialah sembahyang Sunat Hajat berjemaah, bacaan surah-surah dan zikir pilihan, tazkirah dan seterusnya bacaan Doa Khas.
Acara pada hari ini dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat dan dikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk yang diimamkan dan diketuai oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop.
Kemudian, tazkirah bertajuk ‘Adab Berzikir’ disampaikan oleh Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh. Sebelum bersurai Doa Khas bagi Halaqah Zikir tersebut telah dibacakan oleh Awang Khairul Ariffin.
Hadir pada program tersebut ialah pegawai dan kakitangan kerajaan serta syarikat swasta.

