Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 31 Okt – Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai Tutong dan masjid-masjid Daerah Tutong, hari ini, telah melancarkan Halaqah Zikir dan seterusnya penyampaian buku Halaqah Zikir khusus kepada masjid-masjid di daerah ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran di majlis yang berlangsung di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.
Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad semasa menyampaikan ucapan selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa Majlis Halaqah Zikir merupakan julung kali diadakan dan sebagai salah satu usaha memohon keberkatan, keselamatan dan keharmonian negara dan orang ramai.
Majlis ini akan dilaratkan ke semua masjid Daerah Tutong sebulan sekali bagi fasa pertama yang mana bukan sahaja dikhususkan kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah, belia dan beliawanis, bahkan dilaratkan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan, swasta dan penuntut-penuntut sekolah dan penduduk di Daerah Tutong.
Haji Masri juga mengatakan bahawa pelancaran Halaqah Zikir ini merupakan salah satu inisiatif berkebajikan dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/1-A-13cm-rubie_011117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/1-B-6p1-rubie_011117.jpg)
Selain itu, pelancarannya juga adalah bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Antara tujuan Halaqah Zikir diadakan adalah untuk mewujudkan hubungan silaturahim dan ukhuwah sesama umat Islam dan membiasakan para peserta agar sentiasa mengamalkan zikir dan Al-Quran di samping menjadikannya sebagai penyebaran dakwah kepada orang ramai.
Selepas pelancaran Halaqah Zikir, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian buku Halaqah Zikir kepada ketua-ketua imam masjid di Daerah Tutong yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan tazkirah mengenai kelebihan Ratib Al-Attas oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Ketua Zon II, Haji Mohd Aidil Sufian bin Mohd Yassin.
Majlis diakhiri dengan bacaan Ratib Al-Attas yang diketuai oleh Ketua Imam Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Haji Mohd Deli bin Haji Raya.