Friday, March 14, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamas, Jihad Islam bincang gencatan senjata di Gaza

    GAZA, 14 MAC – Hamas dan Jihad Islam kelmarin membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, pencabulan perjanjian oleh Israel serta mengenai menyambung semula rundingan dengan rejim itu, lapor Anadolu Ajansi (AA). 

    Pertemuan di Qatar itu menghimpunkan ketua majlis kepimpinan Hamas, Mohammed Darwish, dan ketua Jihad Islam, Ziyad al-Nakhalah, bersama timbalannya Mohammed al-Hindi, menurut kenyataan Hamas.

    Dalam perbincangan itu, kedua-dua kumpulan Palestin menegaskan keperluan untuk, “mematuhi sepenuhnya semua ketetapan gencatan senjata, khususnya berkaitan pengunduran tentera Israel dari Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, pembukaan lintasan sempadan, serta pelaksanaan protokol kemanusiaan,” menurut kenyataan itu. 

    Mereka turut menekankan kepentingan memastikan penghantaran bekalan asas ke Gaza dan meneruskan fasa kedua daripada perjanjian tiga fasa tanpa sebarang syarat. 

    Kenyataan itu juga menegaskan bahawa, “barisan pejuang tetap komited untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata dengan penuh tanggungjawab dan bersedia meneruskan pelaksanaannya.” 

    Selain itu, kedua-dua delegasi mengecam tindakan Israel di Baitulmaqdis dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk pemusnahan kem pelarian di Jenin dan Nur Shams serta larangan ke atas jemaah untuk beribadah di Masjid Ibrahimi.

    Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa sejak Januari telah menghentikan serangan dahsyat Israel ke atas Gaza, meragut lebih 48,500 nyawa serta memusnahkan hampir keseluruhan wilayah berkenaan. – Bernama/Anadolu

    Sebuah keluarga Palestin berbuka puasa di atas runtuhan rumah mereka di Jabalia, Gaza pada 10 Mac. Hamas dan Jihad Islam kelmarin membincangkan perjanjian gencatan senjata seterusnya. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda