BANDAR GAZA, Wilayah Palestin, 30 Dis – Pemimpin Islam Gaza Hamas semalam menafikan tuduhan yang dibuat oleh presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak dengan mengatakan ia telah membawa masuk beratus-ratus orang lelaki merentasi sempadan semasa pemberontakan 2011.
Mubarak memasuki kandang saksi di sebuah mahkamah Kaherah pada Rabu lalu untuk memberi keterangan mengenai kejadian lari dari penjara yang didakwa dirancang oleh penggantinya Mohamed Morsi dan anggota Ihkwanul Muslimin.
Bekas presiden itu berkata beliau telah menerima maklumat pada masa itu daripada ketua risikan mengenai penyusupan masuk anggota militan dari Semenanjung Gaza ke kawasan timur negara semasa pemberontakan.
“Jeneral Omar Suleiman memberitahu saya pada 29 Januari 2011 bahawa 800 orang militan bersenjata menyusup masuk menerusi sempadan,” katanya, dengan menambah militan Hamas itu dibantu oleh penduduk Sinai Utara, menggunakan terowong bawah tanah untuk merentasi sempadan.
Namun Hamas berkata dalam satu kenyataan bahawa ‘ia menyangkal keras tuduhan yang dibuat oleh bekas presiden itu semasa memberi keterangan di mahkamah.”

“Mubarak mendakwa Hamas menghantar 800 orang anggota ke Kaherah untuk membebaskan tahanan Palestin, Mesir dan Arab dari penjara Mesir,” katanya.
“Sementara Hamas mengesali beberapa desakan parti yang membabitkan gerakan Palestin dalam hal-ehwal dalaman Mesir, ia mengulangi komitmen terhadap dasarnya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.”
Mubarak disingkirkan pada tahun 2011 selepas menerajui tampuk pentadbiran selama tiga dekad.
Pada Mac 2017, dia dibebaskan daripada dakwaan membunuh para pembantah namun masih disiasat atas dakwaan rasuah.
Morsi memerintah Mesir selama setahun sebelum bantahan besar-besaran yang dicetuskan oleh ketua tentera pada masa itu, Abdel Fattah al-Sisi yang menjadi presiden Mesir ketika ini, untuk menggulingkannya pada Julai 2013. – AFP