JERUSALEM, 15 NOV – Seorang pegawai kanan Hamas hari ini berkata kumpulan itu ‘sedia untuk gencatan senjata’ di Gaza dan menggesa Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk memberi tekanan kepada Israel bagi menghentikan perang tersebut.
“Hamas sedia untuk mencapai gencatan senjata di Gaza sekiranya cadangan gencatan senjata dikemukakan dan dengan syarat ia dihormati oleh Israel,” kata ahli biro politik Hamas, Bassem Naim, kepada AFP.
“Kami menyeru pentadbiran AS dan Trump untuk memberi tekanan kepada kerajaan Israel bagi menghentikan serangan ini.
“Hamas telah memaklumkan kepada pihak perantara bahawa ia menyokong sebarang cadangan yang dikemukakan kepadanya yang boleh membawa kepada gencatan senjata yang muktamad dan penarikan tentera dari Gaza, membenarkan kepulangan orang yang dipindahkan, perjanjian serius bagi pertukaran tahanan, kemasukan bantuan kemanusiaan, dan pembinaan semula,” tambah Naim.
Tuntutan tersebut adalah sama dengan yang telah dikemukakan oleh Hamas dalam beberapa pusingan perbincangan gencatan senjata sejak bermulanya perang.
Semasa kempen, Trump berjanji untuk membawa kedamaian di Timur Tengah dan telah berikrar untuk memberi lebih kebebasan kepada Israel.
Kenyataan Naim itu dibuat selepas Qatar mengumumkan pada Sabtu lalu bahawa ia telah menghentikan peranannya sebagai perantara utama bagi perjanjian gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan sehingga Hamas dan Israel menunjukkan ‘kesungguhan’ dalam rundingan.
Emiriah Teluk tersebut, yang menjadi tuan rumah kepada kepimpinan politik Hamas sejak 2012 dengan sokongan AS, terlibat dalam diplomasi berlarutan selama beberapa bulan untuk mengakhiri konflik yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Serangan Hamas tersebut mengorbankan 1,206 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel. – AFP