KUALA LUMPUR, 17 MAC – Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) adalah antara perkara penting dibincangkan Presiden Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam pertemuannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina di Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda semalam.
Menurut FAM dalam satu kenyataan hari ini, Collina mencadangkan kepada Hamidin sama ada untuk menggunakan VAR Sepenuhnya atau VAR Ringan dalam kancah bola sepak tempatan.
“Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita iaitu VAR Sepenuhnya yang dilengkapi dengan minumum lapan kamera atau VAR Ringan yang kurang daripada lapan kamera. Meskipun, Collina mencadangkan penggunaan VAR Sepenuhnya namun beliau menjelaskan VAR Ringan boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.
Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan VAR Sepenuhnya jika memilih untuk menggunakan VAR Ringan,” kata Hamidin yang menghadiri kongres itu sebagai Ahli Majlis FIFA dalam kenyataan itu. – Bernama
