PUTRAJAYA, 19 APRIL – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin merupakan individu pertama daripada badan induk sukan berkenaan yang menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19, di Dewan Seri Seroja di sini, kelmarin.
Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dan kapten pasukan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak juga antara 78 individu terawal daripada FAM yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.
Kumpulan penerima vaksin yang terlibat dalam program imunisasi berkenaan terdiri daripada pemain dan pegawai skuad bola sepak kebangsaan.
Pemain lain yang dilihat hadir menerima suntikan vaksin COVID-19, termasuk dua pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Mohd Farizal Marlias dan Muhammad Syafiq Ahmad serta pemain Perak FC iaitu Mohd Shahrul Mohd Saad dan pemain naturalisasi kebangsaan Guilherme De Paula.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Pengurus Pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee turut hadir ke program berkenaan. – Bernama