PERKAHWINAN usia muda bagi kanak-kanak dan remaja perempuan perlu dihentikan segera. Begitu juga dengan hamil pada usia awal belasan tahun. Tidak kira sama ada hamil daripada perkahwinan sah atau disebabkan masalah sosial, penderaan mahupun jenayah rogol, semuanya membawa risiko yang sama.
Kecelaruan emosi, tekanan mental, trauma melahirkan, kelahiran pramatang, anemia, kekurangan zat, anak damit terbantut dan kemungkinan ibu serta anak kehilangan nyawa akibat masalah kesihatan. Semua ini tidak pernah diambil peduli remaja hari ini.
Pendidikan seks lazimnya dipelajari daripada luaran sahaja. Itu pun ramai yang menyalahgunakan ilmu untuk keseronokan semata-mata. Bahagian yang satu ini terbiar sehingga diri didapati berbadan dua.
Hal serupa juga bagi mereka yang memilih berkahwin pada usia seawal 14 tahun. Alasan tiada larangan dalam Islam dijadikan modal untuk mengikat perkahwinan. Sedangkan kemampuan tubuh dan kematangan diri masih terlalu jauh untuk mengadaptasi semua perubahan yang bakal dilalui pada masa depan.
Kata Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Pakar KPJ Tawakkal Dr Patricia Lim Su-Lyn, hamil usia muda ketika ini diklasifikasikan buat remaja di bawah umur 18 tahun.
Biarpun hamil pada usia 18 dan 19 tahun masih berisiko, ia boleh dianggap selamat sekiranya wanita berkenaan menda-patkan nasihat doktor, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta matang menjalani rutin sebagai bakal ibu.
Mengambil kira trend masyarakat kini yang cenderung memilih berkahwin pada usia muda, Dr Patricia berkata, dia menyokong penuh sekiranya kerajaan dapat menetapkan had umur minimum perkahwinan untuk wanita pada usia 18 tahun.
“Saya percaya rakyat Malaysia mempunyai tahap kematangan yang lebih tinggi berbanding sesetengah negara lain. Bagaimanapun, syarat matang bukanlah segalanya.
“Biarpun tahap pemahaman dan kematangan remaja usia ini dalam keadaan yang baik, risiko tetap ada. Sebab itu kami sentiasa menggalakkan supaya wanita yang merancang hamil pada usia seawal 18 tahun supaya mengikut nasihat dan panduan doktor,” katanya.
Sama seperti wanita yang lebih berusia, remaja yang merancang hamil sepatutnya melakukan pemeriksaan kesihatan lengkap, mendapatkan kaunseling prahamil dan pendapat doktor sebelum mengandung.
“Dalam proses ini, kita boleh melihat sama ada wanita itu benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental dan emosi atau sebaliknya. Jika ada kekangan, doktor mungkin boleh mencadangkan kaedah terbaik untuk merancang keluarga.
“Namun, sekiranya mereka benar-benar sudah bersedia, kita akan mula merancang kehamilan dengan pengambilan asid folik, kelas keibubapaan, penyusuan dan sebagainya. Semua ini penting supaya wanita muda lebih bersedia,” katanya.
Jelas Dr Patricia, sekalipun banyak pendapat mengatakan kehamilan sesuai untuk mereka seawal usia 18 tahun, American Pregnancy Association menjelaskan umur terbaik untuk wanita berbadan dua adalah sekitar 20an. Hal ini disebabkan pelbagai faktor risiko yang boleh membahayakan ibu muda.
Risiko hamil muda
Berkemungkinan besar wanita muda tidak pernah memikirkan semua risiko ini sebelum memutuskan untuk hamil atau terjebak dalam kancah sosial yang memudaratkan. Antara risiko yang boleh dialami ialah:
1. Kurang zat besi
Wanita belasan tahun adalah kelompok individu yang sedang membesar. Tubuh mereka memerlukan banyak zat besi untuk menyokong tumbesaran optimum. Sekiranya mereka didapati hamil pada usia ini, ibu dan anak damit mungkin akan terus bersaing untuk mendapatkan zat besi mencukupi.
Bayangkan jika ibu hidup dalam kemiskinan, tiada sokongan dan gagal mendapatkan keperluan zat mencukupi untuk tumbesaran diri, bagaimana anak damit hendak membesar dengan sihat?
Pada tahap ini, ibu berisiko mengalami anemia, mudah penat atau pengsan, jantung berdebar dan pucat. Jika keadaan ini kekal sehingga saat hendak melahirkan, ibu boleh kehilangan banyak darah dan mengalami pelbagai komplikasi lain. Sementara tumbesaran janin pula akan terbantut, menjadikannya anak damit kurang berat berbanding sepatutnya.
2. Anak damit terbantut
Pastinya keadaan ini berkait dengan masalah kekurangan zat ketika berapa dalam kandungan ibu. Anak damit terbantut menandakan berlakunya gangguan tumbesaran.
Dalam istilah perubatan, situasi ini dirujuk sebagai Intra Uterine Growth Retardation atau (IUGR). Keadaan ini berisiko dihadapi oleh ibu yang mengalami masalah kesihatan atau mengamalkan gaya hidup tidak sihat. Keadaan mungkin bertambah buruk jika berkait dengan masalah anemia.
3. Praeklampsia
Tekanan darah yang terlalu tinggi ketika hamil boleh menyebabkan berlakunya praeklampsia. Dalam situasi ini, ibu hamil boleh mengalami masalah darah tinggi yang keterlaluan dan tidak dapat dikawal sehingga mengakibatkan sawan, strok atau meninggal dunia.
4. Kematian anak damit
Berbanding wanita yang hamil pada usia 20an dan 30an, mereka yang mengandung pada usia muda lebih berisiko berdepan dengan kematian anak damit. Hal ini berkait dengan pelbagai risiko kehamilan pada usia muda dan tahap fisiologi ibu ketika hamil.
5. Trauma melahirkan
Seperti zat besi, wanita pada usia belasan tahun memerlukan jumlah kalsium yang tinggi untuk menyokong perkembangan tulang, gigi dan otot mereka. Lazimnya, pada umur belasan tahun, saiz tulang pelvis remaja masih terlalu kecil.
Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan proses kelahiran. Ibu mungkin terpaksa melupakan kelahiran anak damit secara normal dan perlu melalui pembedahan serta proses penyembuhan yang lebih rumit serta meninggalkan trauma panjang.
6. Kelahiran anak damit pramatang
Anak damit pramatang lahir sebelum usia kandungan mencecah 37 minggu. Semakin kurang usia kandungan, lebih tinggi risiko komplikasi anak damit yang dilahirkan.
Ketika ini, kebanyakan organ anak damit masih belum matang. Anak damit mungkin tidak mampu bernafas sendiri dan perlu disokong dengan bantuan mesin. Paling dibimbangi apabila usus anak damit tidak cukup matang, bakteria baik tidak ada dan berisiko menyebabkan jangkitan kuman. Selain itu, saluran darah ke otak anak damit pramatang juga sangat sensitif. Ia mudah pecah sekali gus menyebabkan pendarahan dalam otak.
Tekanan mental
Selain masalah kesihatan dan keadaan anak damit yang berisiko, Dr Patricia berkata, ada banyak kesan jangka pendek selepas melahirkan yang perlu diketahui golongan ibu muda.
“Ramai ibu berfikir mempunyai anak adalah saat paling bahagia. Namun, perlu diingatkan dalam tempoh awal kelahiran, ibu akan mengalami masalah untuk mendapatkan tidur mencukupi.
“Di sinilah kita dapat nilai tahap kematangan sebenar ibu terbabit. Kita percaya ibu yang terlalu muda memang tidak matang dan sukar memahami banyak keperluan selepas melahirkan anak damit. Mereka tidak faham perlunya datang berjumpa doktor untuk pemeriksaan semula, mendapatkan vaksin untuk anak damit dan bagaimana proses seterusnya untuk mengatur semula kehidupan baharu.
“Sementara bagi kesan jangka panjang, ia boleh dibahagi kepada mental, fizikal dan sosial. Kalau menyentuh isu mental, ibu yang hamil usia muda lebih berisiko untuk mengalami tekanan pasca melahirkan (PPD). Hal ini biasanya berkait dengan kurang tidur, tidak cukup sokongan ibu bapa, tiada tempat bergantung, mahupun tekanan berdepan anak damit yang kuat menangis.
“Di Malaysia, kita belum ada kumpulan yang memberi perhatian khusus buat ibu muda menangani cabaran selepas melahirkan. Malah, kita boleh lihat ada banyak kes membabitkan ibu membunuh anak mereka sendiri. Inilah kesan PPD,” katanya.
Dari sudut fizikal pula, kandungan boleh memudaratkan kesihatan ibu yang kekurangan kalsium, zat besi dan sebagainya. Kurang kalsium, mendekatkan ibu muda kepada risiko osteoporosis apabila sudah tua.
Manakala kesan dari sudut sosial pula tidak kurang hebatnya. Wanita yang hamil disebabkan penderaan, hidup dalam kemiskinan dan tiada sokongan keluarga perlu dibantu segera supaya tidak mewariskan kitaran sama untuk anak damit yang dilahirkan pada masa depan.
“Dalam hal ini, masyarakat memainkan peranan penting untuk membantu memecahkan kitaran bagi ibu yang berdepan masalah sosial. Mereka harus dibantu untuk benar-benar bebas daripada risiko jangkitan penyakit kelamin dan ancaman lain yang boleh memberi kesan kepada kehidupan.
“Berbeza dengan remaja yang mempunyai cukup sokongan, mereka mungkin mempunyai banyak pilihan sama ada meneruskan cita-cita atau terus fokus kepada anak damit serta merancang keluarga,” katanya.
Tip ibu hamil usia muda
1. Jalani kehidupan aktif.
2.Kekalkan berat badan optimum.
3.Amalkan pemakanan seimbang.
4. Pastikan tidur mencukupi.
5.Jauhi merokok dan pengambilan ubat.
6. Rancang keluarga lebih awal.
7. Dapatkan sokongan keluarga.
8. Rujuk doktor. – Agensi