LONDON, 19 FEB – Lewis Hamilton akan ‘lahir semula’ di Ferrari menurut juara dunia Formula Satu, Max Verstappen.
Juara dunia tujuh kali itu telah meninggalkan Mercedes selepas 12 musim untuk menyertai gergasi Itali bagi kempen Grand Prix 2025.
Pelumba Britain berusia 40 tahun itu dijadual tampil di hadapan 15,000 peminat di Arena O2 London pada Selasa untuk memperkenalkan kereta baharunya semasa pelancaran musim Formula Satu 2025, sebelum Ferrari mengadakan sidang media di ibu pejabat mereka di Maranello hari ini.
Hamilton menamatkan penantian lebih dua tahun untuk kemenangan dengan kejayaan di Grand Prix Britain pada Julai.
Namun, dia masih menamatkan musim dengan ketinggalan 214 mata di belakang Verstappen dalam kedudukan pemandu, mengakhiri masanya di Mercedes – di mana dia memenangi enam gelaran – dengan penuh kekecewaan.

Bagaimanapun, Verstappen, yang berusaha menyamai rekod lima kejuaraan pemandu berturut-turut milik Michael Schumacher, berkata perpindahan ke Ferrari boleh memberi inspirasi kepada Hamilton.
“Ia akan memberikannya suasana baharu, motivasi baharu,” kata Verstappen. “Apabila awda sudah lama bersama satu pasukan, telah memenangi banyak perlumbaan dan kemudian melalui beberapa musim yang sukar, mungkin motivasi awda berubah. Kini, seolah-olah dia lahir semula.
“Kita semua tahu betapa hebatnya Lewis dan kita semua tahu betapa bagusnya (rakan sepasukannya) Charles (Leclerc). Ferrari mempunyai dua pemandu yang hebat. Ini akan menjadi sesuatu yang menarik untuk sukan ini, tetapi kejayaan (Hamilton) juga akan bergantung pada sejauh mana kehebatan keretanya.”
Hamilton, yang memburu rekod gelaran pemandu kelapan, menyertai pasukan Ferrari yang hampir menjuarai kejuaraan pengeluar sebelum tewas tipis kepada McLaren tahun lalu.
“Saya pasti menjangkakan Lewis sebagai pencabar kejuaraan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Zak Brown. “Kami dan Ferrari menamatkan tahun lalu dengan persaingan yang sangat sengit, dan saya fikir itu akan berterusan.”
Hamilton akan memandu kereta baharunya buat kali pertama dalam ujian pramusim tunggal minggu hadapan di Bahrain, dengan Ferrari berusaha untuk menamatkan kemarau kejuaraan mereka yang telah berlanjutan hampir dua dekad. – AFP