MONTE CARLO, 23 MEI – Lewis Hamilton kelmarin mengakui masa semakin suntuk buat Ferrari dalam usaha menyaingi pasukan utama musim ini, namun tetap meletakkan harapan tinggi untuk meneruskan di Grand Prix (GP) Monaco selepas menamatkan saingan di tempat keempat dengan penuh semangat hujung minggu lalu.
Pelumba Britain itu, yang berpindah dari Mercedes ke Ferrari musim ini selepas memenangi enam daripada tujuh kejuaraan dunianya masih belum meraih sebarang podium selepas tujuh perlumbaan dan berdepan tekanan luar biasa sejak menyertai Scuderia.
Hamilton juga menyedari Ferrari mungkin akan menghentikan pembangunan jentera tahun ini lebih awal bagi memberi tumpuan terhadap persiapan musim 2026, apabila peraturan unit kuasa baharu akan diperkenalkan.
Namun selepas menamatkan saingan di GP Emilia Romagna pada Ahad lalu, sekali gus menewaskan rakan sepasukan Charles Leclerc buat kali pertama, Hamilton kini berharap peningkatan terkini pada jentera SF 24 mampu membawa sinar di litar jalanan Monte Carlo.
“Memang sudah agak lewat dan kami kesuntukan masa,” katanya mengenai pembangunan jentera untuk musim ini.
“Tapi bagi saya ini adalah tahun pembentukan untuk menyesuaikan diri dengan pasukan serta membantu melakar perubahan penting demi kejayaan jangka panjang.
“Kami perlukan jentera yang lebih pantas dan saya percaya penuh kami mampu melakukannya.”
Sementara itu, Leclerc kelihatan kurang optimis dan mengakui peluang untuk mengulangi detik manis menjuarai GP Monaco bersama Ferrari musim lalu adalah amat tipis ketika ini.
Dia mencipta sejarah sebagai pemenang pertama dari negara tersebut dalam era moden F1 apabila menjuarai GP Monaco 2024. – AFP
