IMOLA, 16 MEI – Lewis Hamilton mengakui kelmarin memandang rendah betapa sukarnya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Ferrari selepas 12 tahun bersama Mercedes.
Juara dunia tujuh kali berusia 40 tahun itu memenangi enam kejuaraannya bersama pasukan ‘silver arrows’ sebelum membuat keputusan dramatik untuk meninggalkan pasukan itu, tahun lalu.
“Saya memang jangka ia akan jadi sukar kerana pernah menyertai pasukan baharu sebelum ini dan saya datang dengan fikiran terbuka.
“Tapi saya tak sangka ia akan jadi sesukar ini,” katanya di Imola menjelang Grand Prix (GP) Emilia Romagna hujung minggu ini.
“Saya tahu ia akan mencabar dan memang sungguh mencabar dari semua sudut.”

Selepas enam perlumbaan musim ini, Hamilton belum meraih podium dalam GP dan kini berada di kedudukan ketujuh dalam kejuaraan pemandu, di belakang remaja Itali, Kimi Antonelli yang menggantikannya di Mercedes.
Hamilton hadir dengan nada rendah di paddock Litar Autodromo Enzo e Dino Ferrari, yang merupakan litar rumah Ferrari dan mengakui bahawa masih banyak kerja perlu dilakukan jika mahu mengembalikan prestasi terbaiknya.
“Kejuaraan? Perjalanan masih jauh lagi. Dari pengalaman saya, bila awda sudah ketinggalan lebih 100 mata pada tahap ini dalam musim, dengan kereta yang berdepan pasukan seperti McLaren yang dominan, kita kena terima hakikat mungkin kita bukan dalam perebutan kejuaraan. Tapi keadaan boleh berubah.”
Hamilton kini ketinggalan 90 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri dari McLaren.
Ferrari merancang untuk memperkenalkan pakej naik taraf hujung minggu ini dengan peningkatan besar dijangka diperkenalkan di Sepanyol, dua minggu lagi, namun Hamilton berkata dia belum pasti keberkesanannya. – AFP