SOCHI, 28 Sept – Pendahulu keseluruhan Formula Satu (F1), Lewis Hamilton kembali memberi fokus kepada perlumbaan dengan kelebihan 40 mata di Grand Prix (GP) Rusia hujung minggu ini selepas bercuti bersama penyanyi rap Amerika Syarikat, Nicki Minaj di Dubai.
Pelumba berusia 33 tahun itu, yang sedang bersaing dengan Sebastian Vettel dari Ferrari bagi memburu kejuaraan kelima, enggan mengulas mengenai peluangnya ketika ditanya wartawan dan mengakui bakal berdepan halangan sukar.
“Saya tidak akan memikirkannya jika peluang itu masih lagi 50-50. Saya lebih senang jika bercakap mengenai kejayaan yang mampu digenggam dengan kedua-dua belah tangan. Jadi, ia sama seperti perlumbaan terakhir sebelum ini, di mana saya hanya tumpu satu demi satu perlumbaan.
“Saingan masih lagi panjang, banyak lagi peluang untuk sesiapa saja meraih mata. Enam perlumbaan lagi yang perlu dilalui.

“Kami tetap menghormati pencabar lain, malah semua orang dalam pasukan sedang bekerja keras untuk mempertingkatkan kemampuan jentera dan kami bakal berdepan cabaran berbeza dalam setiap perlumbaan.
“Tugas, sasaran dan pendekatan yang kami gunakan tetap sama,” kata pelumba Mercedes itu.
Ramai pemerhati berpendapat kejayaan Hamilton di Singapura memberi satu ancaman buat Vettel dan Ferrari, dengan dia hanya memerlukan tiga saja lagi kemenangan serta satu penamat podium untuk mengekalkan kejuaraan musim ini.
Pada masa sama, Hamilton mengakui bahawa dia sangat berbangga dengan kemampuan yang diberikan seluruh pasukannya tahun ini. – AFP