SPA-FRANCOCHAMPS, 30 OGOS – Selepas melanjutkan rekod ke-93 di petak pertama dalam kariernya, juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton berdiri dengan bangga dengan topi keledar Mercedes dan menyilangkan tangannya bagi memperingati wiranya.
Pemandu Britain itu mendedikasikan perlumbaan di Grand Prix Belgium kepada pelakon Amerika Syarikat, Chadwick Boseman, yang meninggal dunia akibat kanser pada Jumaat lalu pada usia 43 tahun.
“Seorang adiwira telah meninggal dunia kelmarin (Jumaat) jadi saya sangat sedih hari ini,” kata Hamilton. “Saya bersemangat untuk melakukan prestasi yang baik hari ini supaya saya boleh mendedikasikannya kepada Chad.”
Boseman yang melakonkan watak seorang warga Amerika berkulit hitam yang ikonik iaitu Jackie Robinson dan James Brown sebelum mengaspirasikan penonton sebagai ‘Black Panther’ dalam francais filem blockbuster Marvel. Filem tersebut mencetuskan aspirasi dengan gaya tabik hormat ‘Wakanda forever’ yang telah menjadi mercu tanda budaya pop.
“Ini merupakan petak yang penting. Saya bangun dari tidur mendengar berita menyedihkan bahawa Chadwick telah meninggal dunia,” kata Hamilton. “Berita yang membuatkan saya berasa sedih, jadi ia bukan mudah untuk kembali fokus. Apa yang telah dia lakukan untuk golongan kami dan adiwira – untuk menunjukkan kanak-kanak apa yang boleh berlaku dalam kehidupan. Wakanda selamanya,”
Hamilton, satu-satunya pemandu kulit hitam dalam F1, menjelaskan impak Chadwick dan karakter filemnya kepada dirinya.
“Saya sangat bertuah kerana pernah berjumpa dengannya dan memberitahu betapa hebatnya dia. Kerana saya ingat semasa saya masih kecil, Superman merupakan wira yang tidak kelihatan seperti saya dan saya masih berfikir Superman adalah yang terbaik,” kata Hamilton. “Dan apabila Chad menjadi raja, apabila dia menjadi adiwira, ia adalah hari yang istimewa bagi kebanyakan orang kerana saya tahu bahawa anak-anak muda akan boleh mencontohi dia dan melihat apa saja kemungkinan yang boleh berlaku”. – AP
