Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamilton janji ‘terus berjuang’ selepas rehat musim panas

    ZANDVOORT, 26 OGOS – Lewis Hamilton kelihatan sebak dan penuh teka-teki dalam ciapan media sosial, kelmarin, ketika bersedia menyambung musim debutnya yang mencabar bersama Ferrari.

    Juara tujuh kali Formula 1 itu dijangka kembali berlumba pada Ahad ini apabila siri perlumbaan bersambung di Belanda selepas cuti pertengahan musim selama empat minggu.

    “Kita perlu terus berjuang, walaupun ketika sukar,” tulis Hamilton, 40 tahun, dalam ciapan ringkas di Instagram, disertai foto siluet dirinya di hadapan matahari terbenam.

    Ciapan itu memberi sedikit gambaran, walaupun tidak sepenuhnya jelas, selepas beberapa perkongsian terdahulu semasa rehat musim perlumbaan yang menyaksikan dia belum menamatkan perlumbaan di podium dalam 14 perlumbaan dan menyifatkan pemanduannya sebagai ‘sangat tidak berguna’.

    “Tiada hari cuti,” tulisnya minggu lalu bersama foto sedang mengangkat berat.

    Beberapa hari sebelumnya, ciapan ‘DND’, dipercayai bermaksud ‘jangan ganggu’, disertai gambar dirinya berbaring di padang berumput berhampiran gunung bersama anjing bulldognya, Roscoe.

    “Saya sentiasa bersyukur untuk masa ini, untuk peluang berehat dan mengisi semula tenaga,” tulis Hamilton kelmarin. “Banyak perkara yang saya renungkan.”

    Fikirannya nampaknya melangkaui trek perlumbaan F1, di mana keputusan terbaiknya setakat ini ialah tiga kali menamatkan perlumbaan di tempat keempat. – AP

    Lewis Hamilton, kelihatan selepas Perlumbaan Pecut Grand Prix Formula Satu Belgium di Litar Spa-Francorchamps, Spa, pada 26 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda