BAKU, 30 April – Juara bertahan dunia, Lewis Hamilton meraih kemenangan pertamanya dalam tahun 2018 kelmarin dan mengambil alih sebagai pendahulu bagi perlumbaan merebut gelaran dengan kemenangan dramatik dalam perlumbaan yang penuh dengan insiden di Grand Prix Azerbaijan.
Pemandu berusia 33 tahun itu, yang bergelut dengan kepantasan, berjaya mengemudi Mercedesnya mengharungi perlumbaan yang tidak menentu dan memanfaatkan nasib malang pelumba lain untuk meraih kemenangan pertamanya dalam tujuh perlawanan dan ke-63 sepanjang kerjayanya.
Valtteri Bottas kelihatanntya dalam laluan untuk menang, namun tiba-tiba mendapati tayar Mercedesnya pancit selepas melalui serpihan logam. Hamilton memintasnya untuk kembali mengungguli podium.

“Sejujurnya, ia adalah perlumbaan yang penih emosi,” kata Hamilton, yang kini mendahului kejuaraan dengan empat mata ke atas Sebastian Vettel dari Ferrari.
“Valtteri berhak untuk menang dan begitu juga dengan Sebastian, yang melakukan tugas dengan baik. Saya agak bernasib baik hari ini (semalam) jadi ia agak ganjil untuk saya berdiri di sini.” – AFP