SPA-FRANCORCHAMPS, 25 JULAI – Lewis Hamilton kelmarin mendedahkan bahawa dia telah menyediakan laporan-laporannya sendiri untuk dibentangkan kepada barisan pengurusan tertinggi Ferrari dalam beberapa siri mesyuarat baru-baru ini, sebagai usaha untuk mengembalikan kejuaraan dunia pertama pasukan itu sejak tahun 2008.
Juara dunia tujuh kali itu berkata semasa sidang media menjelang Grand Prix Belgium hujung minggu ini bahawa dia tidak bersedia untuk menerima nasib seperti juara-juara dunia berganda lain seperti Fernando Alonso dan Sebastian Vettel.
“Jika kita lihat kepada pasukan ini dalam tempoh 20 tahun lalu, mereka telah mempunyai pemandu-pemandu hebat seperti Kimi (Raikkonen), Fernando dan Sebastian, kesemuanya juara dunia, tetapi (Alonso dan Vettel) tidak pernah menjuarai kejuaraan dunia bersama Ferrari – dan saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku kepada saya,” katanya.
“Sebab itu saya sanggup berusaha lebih jauh dan saya bernasib baik kerana pernah menyertai dua pasukan hebat lain – dan walaupun keadaannya pasti berbeza kerana budaya yang berlainan, jika kami mengambil jalan yang sama, kami akan mendapat hasil yang sama.”
Hamilton menambah, “Saya sedang cuba mewujudkan sekutu dalam organisasi ini dan menaikkan semangat mereka. Saya di sini untuk menang dan ini adalah masa penentu bagi saya.

“Saya benar-benar percaya dengan potensi pasukan ini. Saya yakin mereka boleh memenangi beberapa kejuaraan dunia pada masa hadapan. Mereka sudah pun memiliki legasi yang hebat, tetapi… dalam tempoh saya bersama mereka, itu adalah satu-satunya matlamat saya.”
Raikkonen merupakan juara pemandu terakhir Ferrari ketika musim sulung Hamilton dalam Formula Satu pada 2007, manakala kejuaraan konstruktor terakhir pasukan itu pula diperoleh pada musim berikutnya ketika Hamilton memenangi kejuaraan individu pertamanya bersama McLaren.
Hamilton kemudian meninggalkan McLaren untuk menyertai Mercedes dan berjaya meraih enam lagi kejuaraan pemandu sebelum menyertai Ferrari tahun ini.
Namun begitu, dia dan rakan sepasukan Charles Leclerc masih bergelut tanpa sebarang kemenangan, manakala Hamilton belum lagi meraih sebarang podium setakat separuh musim perlumbaan yang terdiri daripada 24 pusingan itu.
Hamilton mendedahkan bahawa keputusan-keputusan tersebut mendorongnya untuk mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Ferrari, John Elkann; Ketua Pegawai Eksekutif, Benedetto Vigna; dan bos pasukan, Fred Vasseur, setelah dia sendiri menyediakan dokumen-dokumen terperinci. – AFP