PARIS, 21 JAN – Juara dunia Formula 1 tujuh kali, Lewis Hamilton, mengambil langkah pertama sebagai pemandu Ferrari, kelmarin, dan menyatakan kegembiraannya menyertai pasukan ikonik itu.
Pelumba berusia 40 tahun itu mengejutkan kawasan paddock Februari lalu apabila dia mengumumkan bahawa selepas 12 tahun berjaya bersama Mercedes, dia akan berpindah ke Ferrari.
“Hari ini kita memulakan lembaran baharu dalam sejarah pasukan ikonik ini, dan saya tidak sabar untuk melihat cerita apa yang akan kita tulis bersama,” katanya dalam kenyataan media ketika dia muncul buat kali pertama di Maranello, ibu pejabat Scuderia itu.
Memakai kot panjang, sut gelap dan bertali leher dengan kemeja putih, Hamilton, mempersembahkan wajah bergaya ketika dia bergambar di hadapan bekas rumah Enzo Ferrari, pengasas jenama Prancing Horse yang terkenal, menurut gambar yang dikeluarkan oleh pasukan baharunya.
Hamilton kemudian pergi ke litar Fiorano untuk bertemu pengurus pasukan, Frederic Vasseur, dan Pengarah Urusan Ferrari, Benedetto Vigna.
Di Maranello, dia berpeluang untuk bercakap dengan beberapa ahli pasukan yang akan bekerjasama dengannya dalam beberapa minggu akan datang, termasuk Riccardo Adami, yang akan menjadi jurutera treknya.
“Terdapat beberapa hari di mana saya akan ingat selama-lamanya, dan hari pertama ini saya sebagai pemandu, adalah salah satu daripada hari-hari itu,” kata Hamilton, yang akan bergandingan dengan Charles Leclerc ketika mereka memburu juara dunia Ferrari pertama sejak Kimi Raikkonen pada tahun 2007.
“Saya merasa bernasib baik kerana telah mencapai sesuatu dalam karier yang tidak pernah saya sangkakan, tetapi sebahagian daripada diri saya sentiasa berpegang pada impian untuk berlumba bersama pasukan itu,” katanya. – AFP